Monday, August 17, 2020

Pemberontakan Aki Si Gunting, Aki Simbarrang, Aki Togallen dan Aki Tampuhim, Pahlawan Dusun, Kampung Sayap , Kota Belud pada tahun 1894

Oleh Kumis Kumis

The British North Borneo Herald

Sebuah Kisah Pahlawan Dusun Yang Tidak Di Dendang

Baru baru ni semasa kami menjejak Sejarah Kota Alfred atau Kubu Alfred di Kota Belud , rakan peminat Sejarah  ada bertanya kalau ada lagi sebarang sejarah silam di Kota Belud yang ada dalam catatan pihak kompeni tapi tidak pernah di dendang.

Sebelum ini kami berkongsi serba sedikit sejarah versi laporan pihak kompeni tentang Perang Pandasan, 1915 dan juga sejarah ringkas Kubu Alfred, di zaman pentadbiran William Prettyman 1879.

Kami memang pernah terbaca satu catatan tentang perjuangan beberapa orang Pahlawan hebat serta terbilang suku Dusun bernama Aki Simbarrang, Aki Togallen dan Aki Tampuhim di mana nama mereka tidak pernah disebut dalam sebarang catatan sejarah Sabah.

Kami akan cuba kongsikan serba sedikit catatan kisah perjuangan mereka. Terlebih dahulu kami memohon Izin dan maaf jika ada sebarang cerita, ejaan dan sebutan yg tidak betul. Sila berikan sebarang komen untuk memperbaiki lagi penulisan serta perkongsian kisah Sejarah ini...

Aki Si Gunting


Sekitar bulan May 1894, beberapa orang Pahlawan Dusun seperti Aki Simbarrang, Aki Togallen dan Aki Tampuhim dari Kampung Sayap Pohon serta Aki Si Gunting dari Kalamuan, Kota Marudu berkumpul di kawasan Kadamaian untuk memujuk suku Dusun Kadamaian memberontak, setelah berjaya menyerang pejabat pentadbiran kompeni di Mumus.

Mereka kali ini ingin menyerang satu lagi pejabat pentadbiran Kompeni di Abai , Kota Belud yang terletak lebih kurang dua jam perjalanan dari Kadamaian dengan alasan rasa tidak puas hati terhadap sistem pentadbiran Kompeni.

Suku Dusun Kadamaian membuat keputusan untuk tidak ikut serta dalam pemberontakan di Kampung Sayap Pohon setelah mempertimbangkan beberapa perkara dan suasana ketika itu.

Mereka memberi tahu Ketua Masyarakat Tempasuk dan anggota polis tentang maklumat dan perkembangan terbaru ini.

Tuan Ormsby dengan serta merta menggumpul 40 orang Suku Bajau sebagai anggota polis khas dan bergerak menuju ke Bidahan memberi arahan agar penduduk Lenass, Kalamuan dan Sayap Pohon untuk berjumpa dengan beliau.

Penduduk Lenass dan Kalamuan bersumpah dan berjanji akan taat setia kepada pihak kompeni.

Penduduk Kalamuan berkata pemberontakan di Kampung Sayap Pohon sebenarnya diketuai oleh Aki Si Gunting dengan kerjasama Aki Simbarrang, Aki Togallen dan Aki Tampuhim yang ketika itu berada di sebuah kubu kuat di Kampung Sayap Pohon, Kota Belud. Tuan Ormsby melantik Aki Sagong mengganti jawatan Aki Si Gunting sebagai Ketua Masyarakat yang baru.

Tuan Ormsby bergerak dari Bidahan ke Nabah berjumpa Aki Tampuhim timbalan Ketua Masyarakat Kampung Sayap Pohon.

Aki Tampuhim berkata penduduk Kampung Sayap tidak ada melakukan sebarang masalah atau kesalahan dan Tuan Ormsby berpendapat bahawa mereka tidak menunjukkan sebarang sebarang usaha untuk "tunduk" kepada Kerajaan.

The Brithish North Borneo Herald


Tuan Ormsby memberi amaran kepada Aki Tampuhim agar semua Ketua Masyarakat yang berada di Kampung Sayap Pohon untuk membuat pilihan supaya "tunduk" kepada kerajaan dalam masa 5 hari kalau tidak maka Kampung Sayap akan di serang dan dimusnahkan oleh anggota Polis.

Pada 2hb Jun 1894 tuan Komandan tiba ke Bidahan bergabung dengan anggota polis tempatan dan bersiap sedia untuk menyerang Kampung Sayap Pohon.

Pada jam 9 pm , Kapten Barnett memberi arahan serangan terhadap Kampung Sayap Pohon dan bersedia untuk bergerak pada esok harinya tepat jam 6.30 am.

Tuan AR Dunlop


Pada 3hb Jun 1894, Tuan Dunlop bergerak menuju Kampung Sayap Pohon bersama 30 orang anggota polis sebagai kumpulan serangan hadapan.

Diikuti oleh Tuan Hasting dan Tuan Ormsby dengan 50 anggota polis sebagai kelompok utama serangan Kampung Sayap Pohon.

Di bahagian belakang pasukan dijaga oleh Sarjan Major Ringgit selaku ketua serangan dari belakang dan memastikan barang barang yang dibawa untuk berperang selamat sampai ke lokasi yang dituju.

Kubu Kampung Sayap Pohon terletak diatas sebuah bukit yang tingginya 200 kaki dan mempunyai aliran sungai di kaki bukit.

Pada jam 8 pagi kumpulan serangan hadapan hampir sampai ke tepi Kubu Kampung Sayap Pohon yang di kawal rapi oleh para pahlawan suku Dusun.

Pada jam 11 pagi, pasukan serangan anggota polis mendengar bunyi gendang dipukul bertalu talu.

Arahan serangan Kapten Barnett sebenarnya seperti perbincangan sebelum ini adalah untuk membuat serangan tiga penjuru di mana satu kumpulan menyerang dari belakang Kubu dari sudut atas bukit, satu kumpulan menyerang dari seberang sungai dan satu kumpulan menyerang kawasan melintasi sungai.

Tetapi apa yang berlaku tiba tiba anggota polis meluru menyerang Kubu Kampung Sayap Pohon di mana ramai yang cedera terkena serangan lontaran bujak atau lembing, dihujani batu kecil dari senjata tradisi kayu lastik, batu batu besar yang digulingkan dari atas bukit  dan peluru dari tembakan senapang rifle. Jika mereka tidak berselindung disebalik banyak akar dan pokok kayu yang besar mungkin lebih ramai lagi anggota yang tercedera atau terkorban.

Kapten Barnett mengarahkan Tuan Hasting membawa pasukannya menyerang belakang Kubu tetapi ramai anggota polis cedera terkena jerat bambu tajam bernama "Sudah".

Kemudian Kapten Barnett mengarah Tuan Ormsby membawa pasukkan beliau membantu Tuan Dunlop yang menyerang dalam kumpulan awal. Tuan Dunlop mengatakan beberapa anggota polis terbunuh termasuk Nahkoda Unsang cedera parah dalam serangan pertama tadi.

Komandan tercedera di kepala apabila cuba menyelamatkan seorang anggota polis Sikh.

Serangan berterusan dengan kali ini mencari kedudukan yang tinggi dari kubu dan menembak pejuang pejuang yang berada di dalam kubu. Disebabkan berubahnya corak serangan dan Kubu tidak lagi dapat menampung serangan dan tembakan bertubi tubi anggota polis maka pintu Kubu di buka dan ramai pejuang Suku Dusun melarikan diri.

Di dalam Kubu Kampung Sayap Pohon ada 7 tubuh mayat bergelimpangan dan ada sebatang senapang jenis "Snider" lengkap dengan peluru. Kubu tersebut penuh dengan darah yang dipercayai darah para pejuang yang memberontak telah tercedera tetapi berjaya melarikan diri dari di tangkap.

Kapten Barnett mengarahkan Dunlop dan 50 anggota polis untuk mengejar, mencari dan menangkap pemberontak yang melarikan diri.

Kapten Barnett menganggarkan ada lebih kurang 100 hingga 120 orang pahlawan dusun di dalam kubu tersebut.

Di dalam peperangan di Kampung Sayap Pohon, Aki Simbarrang dan Aki Si Gunting dikatakan terbunuh dan Aki Toggalen berjaya melarikan diri. Seorang lagi pahlawan Dusun bernama Aki Daranding berjaya di tangkap. Aki Si Gunting sebenarnya berjaya melarikan diri dan terus mengganggu pihak kompeni di kawasan lain.

Pihak Kompeni berkata agak susah menyerang dan menawan Kubu Kampung Sayap Pohon di mana tempat berkumpulnya ramai tokoh pahlawan gagah berani dan pejuang hebat Dusun pada zaman itu disamping mereka memiliki sistem pertahanan dan Kubu yang baik.

Pihak anggota polis melaporkan 2 orang terbunuh, 10 orang cedera parah dan 8 orang lagi dengan pelbagai kecederaan. Anjing kesayangan komandan juga mati terkena bujak. Jumlah keseluruhan anggota polis adalah 40 orang anggota konstabulari dan 60 anggota sukarela dayak.

Seorang Pahlawan yang gagah berani yang menyebelahi pihak Kompeni bernama Nahkoda Usang terkorban dalam peperangan di Kampung Sayap Pohon. Seorang tokoh yg amat berpengaruh, dihormati dan disegani oleh semua pihak di kawasan pantai barat Sabah. North Borneo.

Kampung Sayap Pohon, menurut catatan Kapten Barnett pada bulan July 1894, adalah merupakan satu kawasan yang subur berada lebih kurang 3,000 kaki dari paras laut yang banyak pokok buah buahan dan sekurang kurangnya ada 2000 pokok kelapa. Jalan boleh di buat menuju ke Sayap Pohon dan jika siap akan mengambil masa 6 jam saja untuk sampai ke Abai.

Apabila Kapten Barnett balik dari serangan Kampung Sayap Pohon , beliau membawa 11 orang ketua masyarakat Dusun dan menunjukkan kepada mereka sistem pentadbiran kompeni dan menyatakan bahawa adalah tidak betul bermusuh dan menyerang kompeni.

Kapten Barnett membantu beberapa orang ketua masyarakat yg cedera terkena tembakan peluru dan membuktikan bahawa walaupun mereka tidak menyokong kompeni tetapi kompeni tetap akan membantu serta merawat penduduk tempatan yang cedera.

Ketua masyarakat tersebut dibawa melawat pejabat kerajaan, penjara, sekolah, hospital serta tempat tinggal anggota polis. Mereka semua kemudiannya dihadiahkah dengan barang barang keperluan, makanan dan pakaian.

Sumber :

1. The British North Borneo Herald 1894.

Sabah/North Borneo: Chronological Notes and Important Dates

Edited By Kumis Kumis  1.  INTRODUCTION North Borneo  occupies the northern portion of the Island of Borneo and was a British-Protected stat...