Wednesday, January 27, 2021

Perjanjian Damai dan Batu Sumpah Tuaran-Kiau pada 7.3.1887

Oleh Kumis Kumis

Sejak kebelakangan ini kami ada menerima beberapa pertanyaan dari rakan peminat Sejarah Sabah North Borneo yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang kisah dan peristiwa   "Batu Sumpah Tuaran-Kiau bertarikh 7.3.1887".

 

Batu Sumpah

Di dalam perkongsian serta penceritaan sebelum ini, kami telah jelaskan serba sedikit kisah Perjanjian Damai Penungah (Pinungah) , Labuk- Kinabatangan yang berlaku pada  tahun yang sama iaitu pada 3.5.1887 di mana Suku Sogilitan dari Labuk menyerang Suku Dusun Kinabatangan.

Kisah Batu Sumpah Tuaran-Kiau pula boleh dikatakan sebuah kisah campur tangan pihak "kompeni" (Syarikat Berpiagam British Utara Borneo) dalam soal peperangan Suku Lotud (Suang Lotud) dengan pelbagai Suku lain di sekeliling Tuaran.

Suku Lotud antara sebilangan kecil Suku yang terkenal tidak pernah berpindah randah keluar jauh dari Tuaran sejak kali pertama Suku Lotud membuka penempatan Tuaran.

Ini bererti Suku Lotud telah lama dikenali sebagai satu Suku yang akan mempertahankan Wilayah mereka bermati matian sehingga ketitisan darah terakhir.

Menurut cerita seorang Ketua Kampung Mengkabung, Suku Bajau Samah pernah menamakan sebuah bukit berdekatan Tuaran sebuah lokasi bekas tapak peperangan antara Suku Dusun sebagai "Bukit Mandi Darah".

Penempatan Tuaran dibuka oleh Suku Lotud iaitu lebih awal dari kedatangan Suku Bajau Samah di kawasan itu tetapi Suku Bajau Samah dapat membuka penempatan di Mengkabong disebabkan kawasan itu belum di terokai lagi oleh Suku Lotud.

Pihak "kompeni" berpendapat persengketaan Suku Lotud ini dengan pelbagai Suku lain perlu diselesaikan segera demi mencapai keamanan dan kestabilan yang berkekalan.

Dari kisah dan penceritaan Perjanjian Damai Penungah (Pinungah) kita telah mendapat gambaran bahawa pihak "kompeni" sedang memperkukuhkan sistem pentadbiran mereka di kawasan persisiran pantai sehingga ke kawasan perdalaman.

Tujuan utama "Kompeni" yang amat penting pada masa itu adalah menghentikan amalan "misangod" "mengayau" memotong atau memburu kepala, dendam darah antara suku dan membuat perjanjian taat setia kepada pentadbiran "kompeni" agar undang undang baru dan pelan pembangunan ekonomi boleh dirancang serta dilaksanakan dengan lebih teratur dan sempurna.

Suku Dusun Tuaran lebih dikenali dengan nama Suku Lotud (Suang Lotud/Orang Lotud) yang merupakan salah satu kelompok Suku Dusun yang tinggal di Persisiran pantai seperti antara lainnya Suku Momogun, Suku Rungus, Suku Tombonuo, Suku Idaan, Suku Monnggigi, Suku Kadazan, Suku Tangaa (Tangara) dan Suku Tatana.

Suku Lotud sungguh terkenal dengan amalan "misangod" dan "mengayau" serta kerap kali berperang dengan beberapa Suku Dusun, Suku Bajau dan Suku Iranun di keliling Tuaran sejak dulu kala lagi.

Apabila Suku Lotud membuka penempatan di Tuaran ianya masih hutan belukar dan rumput lalang di sebut mengunakan beberapa ayat seperti, "Kapayan", "Pimpin" dan "Pandanus".

Perkampungan yang didiami oleh Suku Lotud adalah seperti di Kampung Indai, Indai Baru, Dugang, Pukak, Diwata, Solupu, Masung, Mindou, Lumawang, Dungang, Batangan, Pandamai, Marabahai, Dungun, Tagas, Panjut, Tombolugu, Sawa, Bantayan, Damat, Rambai, Mangkaladoi, Bundung, Bulieng, Tinambak, Pitas, Topokon dan beberapa Kampung lain lagi.

Suku Dusun Bukit pula antara yang utama adalah Suku Bundu yang berperang dengan Suku Lotud dari zaman legenda lagi.

Di dalam kisah legenda Suku Bundu apabila mereka membuat penempatan yang pertama di Kampung Tiung selepas perpindahan dari Nunuk Ragang, Suku Lotud sudah ada di tapak tersebut.

Suku Bundu cuba untuk menguji kekuatan Suku Lotud maka mereka mencuri dua sarang burung mistik milik Suku Lotud yang dinamakan "Korogom", lalu mengatakan sarang burung tersebut milik mereka.

Menurut cerita legenda, sengketa sarang burung mistik ini menjadi punca "misangod" dan "mengayau" antara Suku Bundu dengan Suku Lotud yang cuma berakhir selepas campur tangan pihak "kompeni" atau Kerajaan ketika itu.

Pihak Suku Bundu terpaksa membayar pampasan dan ganti rugi kepada Suku Lotud. Antara pahlawan kegemilangan Suku Bundu adalah Bungkolong, Subagar dan Kondihong yang semuanya mempunyai kuasa mistik dan luar biasa.

Suku Dusun Bukit lain adalah seperti Suku Tulun Lipasu, Tulun Ganak Ganak dan Suku Pinausok yang pernah bergabung berperang dengan Suku Lotud dan Suku Tulun Mongitum.

R.M. Little, Timbalan Residen, Wilayah Keppel, Utara Borneo melawat Tuaran dan Kiau (Kota Belud) , atas tujuan berjumpa dengan pemimpin masyarakat dan mewakili "kompeni" untuk menghentikan segala peperangan dan masalah yang timbul dari amalan "misangod" memotong kepala "mengayau" sambil memastikan sistem pentadbiran kompeni di semua Daerah dan Kampung berjalan lancar.

Amalan "misangod memburu dan memotong kepala "mengayau" merupakan tradisi turun temurun Suku Dusun di mana ada yang mempercayai bahawa roh kepala musuh yang di simpan di kampung boleh menjaga kampung itu dari bencana dan malapetaka serta memberikan pulangan hasil pertanian yang lebih baik kepada para petani.

Jika berlaku peperangan antara suku pula, jumlah kepala yang berjaya di potong menjadi perhitungan untuk memastikan siapa yang akan menang atau kalah dalam peperangan antara suku tersebut.

Jika suku lawan mendapat jumlah kepala yang di potong lebih dari satu kepala berbanding dengan suku yang satu lagi maka dendam darah suku itu akan berterusan iaitu untuk membalas dendam untuk mendapatkan kembali satu lagi atau lebih kepala musuh.

Dendam darah ini akan berterusan jika jumlah kepala yang dipotong antara satu suku tidak seimbang.

Kepala wanita dan kanak kanak juga kadang kala di potong untuk menggenapkan jumlah kepala yang di potong.

Dendam darah juga boleh diselesaikan melalui rundingan dan bayaran ganti rugi yang sewajarnya.

Amalan rundingan ini digunakan oleh pihak kompeni sepenuhnya untuk menghentikan semua amalan dendam darah, memburu dan memotong kepala.

Penceritaan kali ini agak panjang tetapi amat menarik sebagai maklumat tambahan kepada pencinta dan peminat Sejarah Silam Sabah North Borneo.

Maklumat yang kami kongsikan berikut adalah petikan dari laporan rasmi tuan RM Little pada tahun 1887.

Pada bulan Februari, 1887, R.M. Little, Timbalan Residen, Wilayah Keppel, Borneo Utara (Wilayah Pantai Barat, Sabah) menerima laporan dari Pangeran Sahbudin iaitu seorang Pemimpin Masyarakat Tuaran-Sulaman, bahawa Aki Gawang, salah seorang Pemimpin Masyarakat Suku Lotud Tuaran telah melawat sejumlah 64 buah Kampung Suku Lotud Tuaran dan Suku Dusun Bukit di sekitar kaki Gunung Kinabalu.

Dalam lawatan serta laporan Aki Gawang tersebut itu juga menyatakan bahawa semua ketua atau pemimpin masyarakat Suku Lotud  dan Suku Dusun Bukit di sekitar kaki Gunung Kinabalu telah  bersetuju memberi taat setia kepada kerajaan (kompeni), membuat perjanjian damai dan melakukan upacara sumpah serta menghentikan amalan memotong kepala.

Mereka mencadangkan di satu tempat  bernama Kampung Kiau, Kota Belud sebagai tapak Perjanjian Damai dan Batu Sumpah yang sebaiknya di hadiri dan disaksikan oleh Tuan R.M. Little, sebagai seorang wakil kanan kerajaan.

Peperangan dan amalan memotong kepala antara Suku Lotud Tuaran dengan Suku Dusun Bukit sekitar kaki Gunung Kinabalu telah lama berlaku tetapi agak lebih kerap lagi apabila perniagaan di "Tamu" mula beroperasi sejak tahun 1885.

Suku Dusun Bukit, Suku Tulun Lipasu, Tulun Ganak Ganak, Suku Pinausok, Suku Tindal, Suku Bundu, Suku Momogun, Suku Rungus Kudat, Suku Kimaragang Bengkoka, Suku Tebilong Inanam, Suku Telibong Kota Marudu dan Suku Tagahas semuanya bermusuhan dengan Suku Lotud serta berperang dan mengayau antara satu sama lain.

Peperangan Suku Lotud ini dengan beberapa Suku di keliling Tuaran sampai ke tahap luar kawalan lalu mengundang campur tangan pihak Kerajaan.

Suku Lotud pernah berperang menentang suku Tindal dengan masing masing membawa 1000 orang pahlawan atau angkatan perang dan masalah tersebut cuma selesai dengan campur tangan pihak Kerajaan (Dalrymple, 1883).

Aktiviti perniagaan di Tamu Tuaran yang terletak di Kampung Madang berhampiran Sungai Damit, dari cabang Sungai Tuaran, dihadiri oleh ramai masyarakat tempatan Suku Bajau dan Suku Dusun dari Tempasuk, Tuaran, Sulaman, Mengkabong dan Suku Dusun Bukit sekitar kaki Gunung Kinabalu.

Pada 16.2.1887, R.M Little melawat Tuaran dan Tuan Residen Davies cuba mengatur pertemuan beliau dengan seorang pemimpin masyarakat Tempasuk berhubung mencari gua sarang burung di kawasan kaki Gunung Kinabalu tetapi malangnya setelah menunggu selama dua minggu ketua masyarakat Tempasuk tersebut tidak dapat datang.

Tuan R.M. Little seterusnya melawat kawasan Kampung Madang yang ketika itu telah menjadi tempat penginapan sementara oleh Suku Dusun Bukit apabila datang berniaga semasa Tamu. R.M. Little berjumpa dengan seorang pengusaha rumah penginapan bernama Ahmat dari Suku Bisaya berasal dari Papar yang telah berkahwin dengan isterinya dari Suku Dusun. Ahmat mendapat rumah penginapan tersebut dari Haji Jemuludin selepas beliau meninggal dunia. Ahmat akhirnya menjadi ketua kampung Madang, Tuaran.

Pada 28.2.1887, R.M. Little mula bergerak ke Kampung Telibong, di tebing Sungai Tuaran bersama 16 orang pembantu Suku Dusun, Seorang Melayu Brunei dan dua orang Dayak. Bagi pihak kerajaan  tuan R.M. Little diiringi oleh Pangeran Sahbudin, Kerani Usman, Aki Gawang (Aki Gawang membawa tombak yang ada bendera berkibar dan memakai sejenis tali pinggang yang mempunyai tempat letak peluru, tali pinggang tersebut melambangkan status seseorang) dan dua orang anggota polis. Mereka juga membawa 6 laras senapang snider dan selaras senapang spencer. R.M. Little bermalam di rumah seorang Ibu, Suku Bajau yang bersuami Suku Dusun.

Pada 1.3.1887, R.M. Little menghadiri "Pesta Buntai" di sebuah kawasan sejauh 40 minit perjalanan dari Kampung Telibong. Lebih dari 500 orang menghadiri pesta tersebut dan Ketua Kampung Telibong bernama Lampayan di mana beliau menyampaikan salam dari Datoh Kabong, yang merasa gembira dengan hasrat tuan R.M. Little untuk pergi ke Kiau. Di Kampung Telibong, Tuan R.M. Little bermalam di rumah seorang Dusun yang bernama Dumanker yang mempunyai 4 orang isteri dan 7 orang anak.

Pada 2.3.1887, R.M. Little tiba ke Kampung Buntai dan meneruskan perjalanan ke Kampung Similan. Mereka melintasi bukit Kamis dan Tiwong dan berhenti sekejap meminum air yang di simpan di dalam bambu. Di Kampung Similan terdapat 6 buah rumah dan 2 Ketua Kampung bernama Mah Tangaris dan Mah Solongkod yang membuat bayaran cukai atau Poll Tax kepada kompeni. Aktiviti utama mereka adalah menanam padi.

Pada 3.3.1887, Rombongan R.M. Little meneruskan perjalanan melintasi Bukit Nilan, Bukit Tingkahang, Bukit Manjok Sirong dan sampai ke Kampung Kalawat. Dari Kampung Kalawat mereka bergerak turun ke Sungai Tinuman, cabang Sungai Mantaranan sehingga ke Kampung Bongol di mana Ketua Kampungnya bernama Datoh Benawa.

R.M. Little cuba berehat di rumah Bansayan tetapi di larang oleh Bansayan. Aki Gawang bertemu dengan Datoh Benawa dan mengatur untuk membawa R.M.Little untuk pindah berehat di rumah Datoh Benawa. Bansayan kemudian memohon maaf jika ada berlaku salah faham. Di rumah Datoh Benawa

R.M. Little berjumpa dua orang lelaki bernama Si Daiin dan Si Giban dan dua orang wanita bernama Kambino dan Kaudeh yang baru sampai dari kawasan Sindatun (Sondoton) menjual Tembakau. Si Daiin menceritakan semua pengikut Sindatun di sebelah Sungai Sinalang akan memberi taat setia kepada kompeni.

Rombongan R.M. Little, bergerak menuju ke Sungai Mantaranan yang bersambung dengan Sungai Kamulau yang masih di kira cabang Sungai Tuaran antara Kampung Linggah dan Bayag.

Di Kampung Kalausatan (Kalansatan) , Ketua Kampungnya bernama Gantok, di mana beliau juga merupakan Ketua Suku Tagahas. Suku Tagahas walaupun bermusuhan dengan Suku Bundu tetapi pernah bergabung menyerang Suku Lotud sehingga membawa campur tangan pihak Kerajaan pada tahun 1886.

R.M. Little berunding dengan Gantok dari Suku Tagahas yang masih berdendam dan tidak mahu menghentikan amalan misangod dan mengayau dengan musuh ketat mereka iaitu Suku Lotud Tuaran.

R.M. Little menganggarkan bahawa Suku Tagahas mempunyai jumlah pengikut sekitar 4000 hingga 5000 orang.

Gantok, Ketua Suku Tagahas akhirnya bersetuju menghentikan Misangod dan Mengayau dengan Suku Lotud apabila R. M. Little memberi kebenaran kepada mereka untuk berniaga di Tamu Tamparuli dan menjanjikan keamanan kepada semua Suku.

Pada sebelah petang R.M. Little berjumpa Ketua Suku Rungus Maragang (Rungus dan Kimaragang) untuk menyelesaikan masalah dendam darah dan amalan memburu serta memotong kepala terhadap Nahkoda Radin dan angkatan perang Suku Lotud beliau di Tuaran.

R.M. Little mendapati seorang bernama Kubud dari Rambatuan (Tombotuon) memberi tahu Ketua Suku Rungus Maragang bahawa Kampung Topokon dekat Kampung Madang, Tuaran bukan di bawah kuasa Kompeni maka mereka membunuh seorang yang bernama Simpagawan untuk membalas dendam pembunuhan 18 orang wanita dan kanak kanak oleh angkatan perang Nahkoda Radin (Suku Dayak) atas arahan Pangeran Kerma Indera, wakil Sultan Brunei di Tuaran.

Disebabkan peristiwa pembunuhan di Rambatuan (Tombotuon) , Nahkoda Radin dan angkatan perang beliau menjadi orang buruan Suku Rungus Maragang (Rungus dan Kimaragang) .

Setelah wilayah Sungai Tulin Tuaran diserahkan kepada pihak Kompeni, Nahkoda Radin terpaksa berpindah ke Mengakabong di mana beliau meninggal dunia pada tahun 1885. Tanpa campur tangan R.M. Little dendam darah Suku Rungus Maragang (Rungus dan Kimaragang) terhadap Nahkoda Radin dan pengikut beliau mungkin tidak akan selesai.

Pada 5.3.1887, Rombongan R.M. Little meninggalkan Kampung Bongol disertai oleh Datoh Benawa. Mereka bertemu dengan Lampayan Ketua Kampung Kahong (Kaung) dan bergerak ke Lobong Lobong merentasi Sungai Kedamaian sebanyak dua kali sehingga sampai ke rumah Mah Tampulau. (Mah bererti "Tamah" atau bapa dan "Tidih" bererti ibu).

Mah Tampulau memberitahu R.M. Little bahawa Tuan Whitehead berada di Melangkap membuat kajian pelbagai spesis burung. R.M. Little cuba membeli kulit kucing harimau dengan bertukar dua gulung kain hitam tetapi tuan punya kulit tersebut tidak bersetuju.

Pada 6.3.1887 berada di Kampung Lobong Lobong di mana kampung ini akan memberi dua ekor kerbau sebagai bayaran cukai kepada kerajaan dan akan diuruskan oleh Lampayan dan Tampalau. Kerbau ini di korbankan sempena upacara perjanjian damai.

Pada 7.3.1887 jam 5.45 pagi Datoh Bunahow dan Datoh Kabong, Pemimpin Masyarakat Kiau, Kota Belud tiba dan upacara bermula dengan  beberapa das tembakan hormat oleh anggota polis,  bendera Kompeni dinaikkan, kerbau disembelih oleh Kerani Usman.

Batu Sumpah berbentuk empat segi di tanam berdiri tegak sambil di pegang oleh Suku Dusun Tuaran dan Suku Dusun Bukit sebagai tanda taat setia kepada pihak kompeni, perjanjian perdamaian dan tanda persahabatan selama lamanya buat semua pihak yang terbabit.

Di dalam lubang atau dasar batu sumpah tersebut R.M. Little meletakkan duit syiling satu sen straits settlement menggantikan duit syiling BNB.

Kinabalu diseru untuk menjadi saksi kepada upacara batu sumpah hari itu dan tiba tiba cahaya matahari bersinar disebalik kegelapan awan mendung yang menyelebungi kawasan batu sumpah tersebut. Cahaya dan sinar matahari tadi dianggap sebagai satu tanda yang gembira oleh semua orang yang hadir.

Pada 9.3.1887, Rombongan R.M. Little mula bergerak turun dari Kampung Kiau, Kota Belud ke Tuaran.

Begitulah kisah dan berakhirnya upacara Perjanjian Perdamaian dan Batu Sumpah, Tuaran-Kiau di mana perang dan persengketaan antara Suku telah berjaya dihentikan oleh pihak kompeni.

Peristiwa ini juga kali terakhir upacara bacaan dan sembayang sejenis amalan sebelum dan selepas "misangod""mengayau" seperti "Tandahau" (semangat kepala), "Mitaruk" (korban kerbau dan sumpah langgar sumpah), "Kopioh" (nasib baik) , "Toburik" (sejenis trompet bambu) , "Sigandai" (tempat suci), "Tinompok" (Batu tanda) beransur hilang dan jarang diamalkan lagi.

Nota : ada ejaan nama orang dan tempat mungkin silap sila bantu perbetulkan.

Sumber :

1. The British North Borneo Herald 1.7.1887

2. R.M. Little, Report on Journey From Tuaran to Kiau and ascent to Kinabalu Mountain, 1.7.1887

3. I.H.N. Evans, The Religion of the Tempasuk Dusun, 1953

4. PS Shim, Inland People of Sabah, 2007


Saturday, January 9, 2021

Sejarah Perjanjian Penyerahan Negeri Simbulan kepada pihak Syarikat Berpiagam British Utara Borneo, 23.3.1898

Oleh: Kumis Kumis

Ramai Generasi Muda Kampung Sembulan bertanya sama ada betulkah Kampung kita mempunyai Sejarah Silam?

Sembulan 1930

Dimanakah kita boleh mendapatkan atau menjejak serta mencari buku rujukan atau fakta bertulis mengenai Sejarah Awal Kampung Sembulan selain dari mendapat sumber lisan dari golongan orang tua di Kampung itu memandangkan tidak semua mengetahui kisah sebenar atau menyimpan sebarang dokumen lama di samping pelbagai variasi cerita yang berbeza turun temurun dikalangan beberapa keluarga awal ?

Jeffri Bin Mohd Asi, Penjejak Sejarah Sembulan (82 Tahun-2021)

Di Kampung Sembulan Lama, mereka beruntung kerana masih ada lagi generasi terakhir yg menyimpan dan mengetahui kisah sebenar asal usul Kampung tersebut walaupun pada mulanya ianya dianggap sekadar cerita lisan atau dongeng semata mata.

Sahar Bin Haji Piassin, Penjejak Sejarah Sembulan dan Mengkabong (60 Tahun)

Beberapa orang generasi pelapis Kampung Sembulan ini dalam Lingkungan umur 50 tahun hingga 60 tahun secara sukarela berjaya menjejak serta menemui satu persatu dokumen dan maklumat lama ini setelah mengambil masa yang agak lama sehingga ada yg mengembara ke Kota London membawa balik dokumen lama demi untuk dikongsikan kepada Generasi baru agar Sejarah Sembulan tidak hilang lenyap begitu saja.

Prof. Ranjit Singh

Simbulan sudah wujud di peta lama seawal tahun 1846 dan sehingga tahun 1870 an masih merupakan salah satu Negeri atau Wilayah Jajahan Kesultanan Brunei.

Prof Asbol, Brunei


Pada abad ke 19, Kesultanan Brunei memiliki lebih dari 150 Negeri atau Wilayah Jajahan termasuk salah satunya Negeri Simbulan.

Negeri Simbulan merupakan salah satu lokasi tempat tinggal saki baki tentera Kesultanan Brunei yg terdiri dari bekas pahlawan Suku kaum Bajau Samah atau juga dikenali sebagai "Suku Orang Laut" yg berasal dari Kepulauan Johor Riau Lingga yg ketika itu di bawah naungan Kesultanan Johor Riau Lingga.

Kesultanan Johor Riau Lingga di zaman itu pula berlaku pergolakan antara susurgalur Sultan, Bendahara, Temmenggung dan Yamtuan Muda Riau.

Saki baki tentera Bajau Samah atau "Suku Orang Laut" di bawah pimpinan Sharif Amirullah ini membuat keputusan untuk menetap di muara Sungai yg dinamakan "Simbulan" iaitu sebuah lokasi yg diberikan kepada mereka untuk dijadikan penempatan atas jasa perjuangan serta pengorbanan mempertahankan persisiran pantai Barat Borneo Utara agar tidak jatuh ke tangan Kesultanan Sulu.

Susurgalur waris dan keluarga Sharif Amirullah sehingga Generasi ke 7, ke 8 dan ke 9 masih menetap di Kampung Sembulan sehingga hari ini.

Mereka telah berkahwin campur dengan masyarakat tempatan Brunei dan Dusun lalu membuat keputusan untuk menetap di lokasi tersebut sebagai nelayan sejak tahun 1788 iaitu selepas Perang Menggatal antara tentera Kesultanan Brunei dengan tentera Suku Illanun, Belingingi dan Sulu.

Tampuk pentadbiran dan pemerintahan serta fungsi Negeri Simbulan berubah sejak tahun 1846 dimana berlaku pergolakan dikalangan kerabat Kesultanan Brunei.

Pada tahun 1877 Sultan Brunei mula menyerahkan Negeri Wilayah Jajahan Kesultanan Brunei di Borneo Utara kepada pihak British.

Perjanjian Simbulan - BNBCC 1898

Negeri Simbulan di serahkan kepada pihak British pada tahun 1898 iaitu 12 tahun selepas perjanjian 1877.

"Sejarah adalah lidah kebenaran. Bangsa yg kuat adalah bangsa yang tahu sejarahnya" .

Perjanjian Simbulan - BNBC

Perjanjian Simbulan BNBC


Pada tahun 1898, William Clark Cowie mengambil tindakan pendakwaan keatas Sultan Brunei dan Pangeran Jalaludin atas tuduhan membakar dan merampas Pulau Gaya dari pihak British pada tahun 1897.

Cowie mendakwa bahawa Pulau Gaya di bakar oleh orang orang Inanam, Menggatal dan Mengkabong. Di Kampung Simbulan ketika itu memang ada waris atau sanak saudara dari Inanam, Menggatal dan Mengkabong.

Pangeran Jalaludin menerangkan kepada pihak British bahawa Mengkabong dan Menggatal adalah harta milik serta pusaka bapanya Pangeran Abdul Rauf Bin Bin Pangeran Abdul Rajit Bin Pangeran Pemancha Harimau Daud.

Pangeran Jalaludin berpendapat selagi semua kawasan atau negeri yg berkaitan di Persisiran Pantai Barat tidak di serahkan kepada Pihak British maka segala kesusahan dan kerugian akan tetap dialami selama lamanya.

Pangeran Jalaludin sebagai menantu kepada Sultan Brunei ketika itu mencadangkan agar membuat perjanjian dan menyerahkan semua Negeri Wilayah Jajahan Kesultanan Brunei di Persisiran pantai Barat, Borneo Utara.

Penyerahan Negeri dan Wilayah yg berkaitan yg belum diserahkan kepada pihak British selepas perjanjian tahun 1877 sebagai langkah menyelesaikan perselisihan faham serta membatalkan pendakwaan ke atas Sultan Brunei di samping membawa kebaikan kepada semua rakyat.

Jika, mendapat persetujuan dari Yang Mahamulia Queen dan pihak British tentang cadangan ini maka ada baiknya pihak British menarik balik serta membatalkan segala dakwaan terhadap Sultan Brunei dan Pangeran Jalaludin di samping mengampunkan semua rakyatnya yg terbabit dalam pembakaran dan rampasan Pulau Gaya.

Pangeran Jalaludin memohon agar beliau terus mendapat bayaran konsesi bahan mineral yg beliau telah tanda tangani dengan orang lain sebelum ini dan berharap agar dapat bayaran dari pihak British sebanyak $2500 setiap tahun selagi pihak British mentadbir Negeri Negeri tersebut. Bayaran semestinya dalam bentuk Wang Perak di bayar setiap setengah tahun bermula dari 23. 3.1898.

Pangeran Jalaludin juga memohon pinjaman sebanyak $12,500 sebagai Wang pendahuluan selama 5 tahun dan seterusnya di bayar dua kali setahun.

Pangeran Jalaludin juga memohon agar sebidang tanah diberikan kepada beliau dari Bukit Gantisan sehingga Kuala Mengkabong kerana tempat tersebut adalah tanah perkuburan Ibu bapa beliau dan juga tempat tinggal sanak saudara beliau.

Sekiranya Pangeran Jalaludin menghadapi sebarang kesusahan Pihak British berjanji akan memberi pertolongan dan beliau boleh membawa keluar beras sebanyak 1000 pikul tanpa sebarang cukai.

Pangeran Jalaludin berjanji untuk menyelesaikan sebarang tuntutan dari Pangeran Kahar iaitu sepupu beliau mengenai segala urusan tanah.

Perjanjian antara Pangeran Jalaludin dengan Pihak British di buat di Labuan pada 23.3.1898.

Perjanjian ini sebenarnya mendapat bantahan dari penduduk kampung kerana mereka takut pihak British akan meminta bayaran cukai tanah dan jika sekiranya gagal membayar cukai maka pihak British akan merampas tanah serta penempatan penduduk kampung yg telah tinggal di Kampung tersebut sejak zaman nenek moyang mereka.

Penduduk kampung juga merasakan bahawa pihak British tidak akan menghargai segala jasa perjuangan nenek moyang mereka yg ramai terkorban mempertahankan tanah air dari serangan musuh di zaman silam.

Pihak British akhirnya akur membuat geran tanah NT 44 seluas tiga ekar untuk penduduk kampung Simbulan pada tahun 1900 dan akhirnya pada tahun 1910 geran tahan tersebut didaftarkan atas nama OKK Pangeran Omar Bin Pangeran Shariffudin mewakili Masyarakat Islam Sembulan.

Sumber :

1. The National Archives, London

2. The Making of Sabah 1865-1941, Professor DS Ranjit Singh

3. Kesultanan Melayu Brunei, Professor Madya Dr Hj Asbol Mail

4. Prince of Pirates, Carl A Trocki

5. 1788 Simbulan: Sejarah Sembulan Lama, Jeffri Mohd Asi (belum diterbitkan)

6. CO. 874/47, Arkib Negeri Sabah

7. Perpustakaan Penyelidikan Borneo Tun Haji Mohd Fuad Stephens

Temubual:

1. Jeffri Bin Mohd Asi

2. Sahar Bin Hj Piassin

 

 


Sabah/North Borneo: Chronological Notes and Important Dates

Edited By Kumis Kumis  1.  INTRODUCTION North Borneo  occupies the northern portion of the Island of Borneo and was a British-Protected stat...