Ramai Generasi Muda Kampung Sembulan bertanya sama ada
betulkah Kampung kita mempunyai Sejarah Silam?
Sembulan 1930 |
Dimanakah kita boleh mendapatkan atau menjejak serta mencari buku rujukan atau fakta bertulis mengenai Sejarah Awal Kampung Sembulan selain dari mendapat sumber lisan dari golongan orang tua di Kampung itu memandangkan tidak semua mengetahui kisah sebenar atau menyimpan sebarang dokumen lama di samping pelbagai variasi cerita yang berbeza turun temurun dikalangan beberapa keluarga awal ?
Jeffri Bin Mohd Asi, Penjejak Sejarah Sembulan (82 Tahun-2021)
Di Kampung Sembulan Lama, mereka beruntung kerana masih ada
lagi generasi terakhir yg menyimpan dan mengetahui kisah sebenar asal usul
Kampung tersebut walaupun pada mulanya ianya dianggap sekadar cerita lisan atau
dongeng semata mata.
Sahar Bin Haji Piassin, Penjejak Sejarah Sembulan dan Mengkabong (60 Tahun)
Beberapa orang generasi pelapis Kampung Sembulan ini dalam
Lingkungan umur 50 tahun hingga 60 tahun secara sukarela berjaya menjejak serta
menemui satu persatu dokumen dan maklumat lama ini setelah mengambil masa yang
agak lama sehingga ada yg mengembara ke Kota London membawa balik dokumen lama
demi untuk dikongsikan kepada Generasi baru agar Sejarah Sembulan tidak hilang
lenyap begitu saja.
Prof. Ranjit Singh |
Simbulan sudah wujud di peta lama seawal tahun 1846 dan sehingga tahun 1870 an masih merupakan salah satu Negeri atau Wilayah Jajahan Kesultanan Brunei.
Pada abad ke 19, Kesultanan Brunei memiliki lebih dari 150
Negeri atau Wilayah Jajahan termasuk salah satunya Negeri Simbulan.
Negeri Simbulan merupakan salah satu lokasi tempat tinggal
saki baki tentera Kesultanan Brunei yg terdiri dari bekas pahlawan Suku kaum
Bajau Samah atau juga dikenali sebagai "Suku Orang Laut" yg berasal
dari Kepulauan Johor Riau Lingga yg ketika itu di bawah naungan Kesultanan
Johor Riau Lingga.
Kesultanan Johor Riau Lingga di zaman itu pula berlaku
pergolakan antara susurgalur Sultan, Bendahara, Temmenggung dan Yamtuan Muda
Riau.
Saki baki tentera Bajau Samah atau "Suku Orang Laut"
di bawah pimpinan Sharif Amirullah ini membuat keputusan untuk menetap di muara
Sungai yg dinamakan "Simbulan" iaitu sebuah lokasi yg diberikan
kepada mereka untuk dijadikan penempatan atas jasa perjuangan serta pengorbanan
mempertahankan persisiran pantai Barat Borneo Utara agar tidak jatuh ke tangan
Kesultanan Sulu.
Susurgalur waris dan keluarga Sharif Amirullah sehingga
Generasi ke 7, ke 8 dan ke 9 masih menetap di Kampung Sembulan sehingga hari
ini.
Mereka telah berkahwin campur dengan masyarakat tempatan
Brunei dan Dusun lalu membuat keputusan untuk menetap di lokasi tersebut
sebagai nelayan sejak tahun 1788 iaitu selepas Perang Menggatal antara tentera
Kesultanan Brunei dengan tentera Suku Illanun, Belingingi dan Sulu.
Tampuk pentadbiran dan pemerintahan serta fungsi Negeri
Simbulan berubah sejak tahun 1846 dimana berlaku pergolakan dikalangan kerabat
Kesultanan Brunei.
Pada tahun 1877 Sultan Brunei mula menyerahkan Negeri
Wilayah Jajahan Kesultanan Brunei di Borneo Utara kepada pihak British.
Perjanjian Simbulan - BNBCC 1898 |
Negeri Simbulan di serahkan kepada pihak British pada tahun 1898 iaitu 12 tahun selepas perjanjian 1877.
"Sejarah adalah lidah kebenaran. Bangsa yg kuat adalah
bangsa yang tahu sejarahnya" .
Perjanjian Simbulan - BNBC Perjanjian Simbulan BNBC
Pada tahun 1898, William Clark Cowie mengambil tindakan
pendakwaan keatas Sultan Brunei dan Pangeran Jalaludin atas tuduhan membakar
dan merampas Pulau Gaya dari pihak British pada tahun 1897.
Cowie mendakwa bahawa Pulau Gaya di bakar oleh orang orang
Inanam, Menggatal dan Mengkabong. Di Kampung Simbulan ketika itu memang ada
waris atau sanak saudara dari Inanam, Menggatal dan Mengkabong.
Pangeran Jalaludin menerangkan kepada pihak British bahawa
Mengkabong dan Menggatal adalah harta milik serta pusaka bapanya Pangeran Abdul
Rauf Bin Bin Pangeran Abdul Rajit Bin Pangeran Pemancha Harimau Daud.
Pangeran Jalaludin berpendapat selagi semua kawasan atau
negeri yg berkaitan di Persisiran Pantai Barat tidak di serahkan kepada Pihak
British maka segala kesusahan dan kerugian akan tetap dialami selama lamanya.
Pangeran Jalaludin sebagai menantu kepada Sultan Brunei
ketika itu mencadangkan agar membuat perjanjian dan menyerahkan semua Negeri
Wilayah Jajahan Kesultanan Brunei di Persisiran pantai Barat, Borneo Utara.
Penyerahan Negeri dan Wilayah yg berkaitan yg belum
diserahkan kepada pihak British selepas perjanjian tahun 1877 sebagai langkah
menyelesaikan perselisihan faham serta membatalkan pendakwaan ke atas Sultan
Brunei di samping membawa kebaikan kepada semua rakyat.
Jika, mendapat persetujuan dari Yang Mahamulia Queen dan
pihak British tentang cadangan ini maka ada baiknya pihak British menarik balik
serta membatalkan segala dakwaan terhadap Sultan Brunei dan Pangeran Jalaludin
di samping mengampunkan semua rakyatnya yg terbabit dalam pembakaran dan
rampasan Pulau Gaya.
Pangeran Jalaludin memohon agar beliau terus mendapat
bayaran konsesi bahan mineral yg beliau telah tanda tangani dengan orang lain
sebelum ini dan berharap agar dapat bayaran dari pihak British sebanyak $2500
setiap tahun selagi pihak British mentadbir Negeri Negeri tersebut. Bayaran
semestinya dalam bentuk Wang Perak di bayar setiap setengah tahun bermula dari
23. 3.1898.
Pangeran Jalaludin juga memohon pinjaman sebanyak $12,500
sebagai Wang pendahuluan selama 5 tahun dan seterusnya di bayar dua kali
setahun.
Pangeran Jalaludin juga memohon agar sebidang tanah
diberikan kepada beliau dari Bukit Gantisan sehingga Kuala Mengkabong kerana
tempat tersebut adalah tanah perkuburan Ibu bapa beliau dan juga tempat tinggal
sanak saudara beliau.
Sekiranya Pangeran Jalaludin menghadapi sebarang kesusahan
Pihak British berjanji akan memberi pertolongan dan beliau boleh membawa keluar
beras sebanyak 1000 pikul tanpa sebarang cukai.
Pangeran Jalaludin berjanji untuk menyelesaikan sebarang
tuntutan dari Pangeran Kahar iaitu sepupu beliau mengenai segala urusan tanah.
Perjanjian antara Pangeran Jalaludin dengan Pihak British di
buat di Labuan pada 23.3.1898.
Perjanjian ini sebenarnya mendapat bantahan dari penduduk
kampung kerana mereka takut pihak British akan meminta bayaran cukai tanah dan
jika sekiranya gagal membayar cukai maka pihak British akan merampas tanah
serta penempatan penduduk kampung yg telah tinggal di Kampung tersebut sejak
zaman nenek moyang mereka.
Penduduk kampung juga merasakan bahawa pihak British tidak
akan menghargai segala jasa perjuangan nenek moyang mereka yg ramai terkorban
mempertahankan tanah air dari serangan musuh di zaman silam.
Pihak British akhirnya akur membuat geran tanah NT 44 seluas
tiga ekar untuk penduduk kampung Simbulan pada tahun 1900 dan akhirnya pada
tahun 1910 geran tahan tersebut didaftarkan atas nama OKK Pangeran Omar Bin
Pangeran Shariffudin mewakili Masyarakat Islam Sembulan.
Sumber :
1. The National Archives, London
2. The Making of Sabah 1865-1941, Professor DS Ranjit Singh
3. Kesultanan Melayu Brunei, Professor Madya Dr Hj Asbol
Mail
4. Prince of Pirates, Carl A Trocki
5. 1788 Simbulan: Sejarah Sembulan Lama, Jeffri Mohd Asi
(belum diterbitkan)
6. CO. 874/47, Arkib Negeri Sabah
7. Perpustakaan Penyelidikan Borneo Tun Haji Mohd Fuad
Stephens
Temubual:
1. Jeffri Bin Mohd Asi
2. Sahar Bin Hj Piassin
No comments:
Post a Comment