Oleh Kumis Kumis
The British North Borneo Herald
Sebuah Kisah Pahlawan Dusun Yang Tidak Di Dendang
Baru baru ni semasa kami menjejak Sejarah Kota Alfred atau Kubu Alfred di Kota Belud , rakan peminat Sejarah ada bertanya kalau ada lagi sebarang sejarah silam di Kota Belud yang ada dalam catatan pihak kompeni tapi tidak pernah di dendang.
Sebelum ini kami berkongsi serba sedikit sejarah versi
laporan pihak kompeni tentang Perang Pandasan, 1915 dan juga sejarah ringkas
Kubu Alfred, di zaman pentadbiran William Prettyman 1879.
Kami memang pernah terbaca satu catatan tentang perjuangan
beberapa orang Pahlawan hebat serta terbilang suku Dusun bernama Aki
Simbarrang, Aki Togallen dan Aki Tampuhim di mana nama mereka tidak pernah
disebut dalam sebarang catatan sejarah Sabah.
Kami akan cuba kongsikan serba sedikit catatan kisah
perjuangan mereka. Terlebih dahulu kami memohon Izin dan maaf jika ada sebarang
cerita, ejaan dan sebutan yg tidak betul. Sila berikan sebarang komen untuk
memperbaiki lagi penulisan serta perkongsian kisah Sejarah ini...
Sekitar bulan May 1894, beberapa orang Pahlawan Dusun
seperti Aki Simbarrang, Aki Togallen dan Aki Tampuhim dari Kampung Sayap Pohon
serta Aki Si Gunting dari Kalamuan, Kota Marudu berkumpul di kawasan Kadamaian
untuk memujuk suku Dusun Kadamaian memberontak, setelah berjaya menyerang
pejabat pentadbiran kompeni di Mumus.
Mereka kali ini ingin menyerang satu lagi pejabat
pentadbiran Kompeni di Abai , Kota Belud yang terletak lebih kurang dua jam
perjalanan dari Kadamaian dengan alasan rasa tidak puas hati terhadap sistem
pentadbiran Kompeni.
Suku Dusun Kadamaian membuat keputusan untuk tidak ikut
serta dalam pemberontakan di Kampung Sayap Pohon setelah mempertimbangkan
beberapa perkara dan suasana ketika itu.
Mereka memberi tahu Ketua Masyarakat Tempasuk dan anggota
polis tentang maklumat dan perkembangan terbaru ini.
Tuan Ormsby dengan serta merta menggumpul 40 orang Suku
Bajau sebagai anggota polis khas dan bergerak menuju ke Bidahan memberi arahan
agar penduduk Lenass, Kalamuan dan Sayap Pohon untuk berjumpa dengan beliau.
Penduduk Lenass dan Kalamuan bersumpah dan berjanji akan
taat setia kepada pihak kompeni.
Penduduk Kalamuan berkata pemberontakan di Kampung Sayap
Pohon sebenarnya diketuai oleh Aki Si Gunting dengan kerjasama Aki Simbarrang,
Aki Togallen dan Aki Tampuhim yang ketika itu berada di sebuah kubu kuat di
Kampung Sayap Pohon, Kota Belud. Tuan Ormsby melantik Aki Sagong mengganti jawatan
Aki Si Gunting sebagai Ketua Masyarakat yang baru.
Tuan Ormsby bergerak dari Bidahan ke Nabah berjumpa Aki
Tampuhim timbalan Ketua Masyarakat Kampung Sayap Pohon.
Aki Tampuhim berkata penduduk Kampung Sayap tidak ada
melakukan sebarang masalah atau kesalahan dan Tuan Ormsby berpendapat bahawa
mereka tidak menunjukkan sebarang sebarang usaha untuk "tunduk"
kepada Kerajaan.
The Brithish North Borneo Herald
Tuan Ormsby memberi amaran kepada Aki Tampuhim agar semua
Ketua Masyarakat yang berada di Kampung Sayap Pohon untuk membuat pilihan supaya
"tunduk" kepada kerajaan dalam masa 5 hari kalau tidak maka Kampung
Sayap akan di serang dan dimusnahkan oleh anggota Polis.
Pada 2hb Jun 1894 tuan Komandan tiba ke Bidahan bergabung
dengan anggota polis tempatan dan bersiap sedia untuk menyerang Kampung Sayap
Pohon.
Pada jam 9 pm , Kapten Barnett memberi arahan serangan
terhadap Kampung Sayap Pohon dan bersedia untuk bergerak pada esok harinya
tepat jam 6.30 am.
Pada 3hb Jun 1894, Tuan Dunlop bergerak menuju Kampung Sayap
Pohon bersama 30 orang anggota polis sebagai kumpulan serangan hadapan.
Diikuti oleh Tuan Hasting dan Tuan Ormsby dengan 50 anggota
polis sebagai kelompok utama serangan Kampung Sayap Pohon.
Di bahagian belakang pasukan dijaga oleh Sarjan Major
Ringgit selaku ketua serangan dari belakang dan memastikan barang barang yang
dibawa untuk berperang selamat sampai ke lokasi yang dituju.
Kubu Kampung Sayap Pohon terletak diatas sebuah bukit yang
tingginya 200 kaki dan mempunyai aliran sungai di kaki bukit.
Pada jam 8 pagi kumpulan serangan hadapan hampir sampai ke
tepi Kubu Kampung Sayap Pohon yang di kawal rapi oleh para pahlawan suku Dusun.
Pada jam 11 pagi, pasukan serangan anggota polis mendengar
bunyi gendang dipukul bertalu talu.
Arahan serangan Kapten Barnett sebenarnya seperti perbincangan
sebelum ini adalah untuk membuat serangan tiga penjuru di mana satu kumpulan
menyerang dari belakang Kubu dari sudut atas bukit, satu kumpulan menyerang
dari seberang sungai dan satu kumpulan menyerang kawasan melintasi sungai.
Tetapi apa yang berlaku tiba tiba anggota polis meluru
menyerang Kubu Kampung Sayap Pohon di mana ramai yang cedera terkena serangan
lontaran bujak atau lembing, dihujani batu kecil dari senjata tradisi kayu
lastik, batu batu besar yang digulingkan dari atas bukit dan peluru dari tembakan senapang rifle. Jika
mereka tidak berselindung disebalik banyak akar dan pokok kayu yang besar
mungkin lebih ramai lagi anggota yang tercedera atau terkorban.
Kapten Barnett mengarahkan Tuan Hasting membawa pasukannya
menyerang belakang Kubu tetapi ramai anggota polis cedera terkena jerat bambu
tajam bernama "Sudah".
Kemudian Kapten Barnett mengarah Tuan Ormsby membawa
pasukkan beliau membantu Tuan Dunlop yang menyerang dalam kumpulan awal. Tuan
Dunlop mengatakan beberapa anggota polis terbunuh termasuk Nahkoda Unsang
cedera parah dalam serangan pertama tadi.
Komandan tercedera di kepala apabila cuba menyelamatkan
seorang anggota polis Sikh.
Serangan berterusan dengan kali ini mencari kedudukan yang
tinggi dari kubu dan menembak pejuang pejuang yang berada di dalam kubu.
Disebabkan berubahnya corak serangan dan Kubu tidak lagi dapat menampung
serangan dan tembakan bertubi tubi anggota polis maka pintu Kubu di buka dan
ramai pejuang Suku Dusun melarikan diri.
Di dalam Kubu Kampung Sayap Pohon ada 7 tubuh mayat
bergelimpangan dan ada sebatang senapang jenis "Snider" lengkap
dengan peluru. Kubu tersebut penuh dengan darah yang dipercayai darah para
pejuang yang memberontak telah tercedera tetapi berjaya melarikan diri dari di
tangkap.
Kapten Barnett mengarahkan Dunlop dan 50 anggota polis untuk
mengejar, mencari dan menangkap pemberontak yang melarikan diri.
Kapten Barnett menganggarkan ada lebih kurang 100 hingga 120
orang pahlawan dusun di dalam kubu tersebut.
Di dalam peperangan di Kampung Sayap Pohon, Aki Simbarrang
dan Aki Si Gunting dikatakan terbunuh dan Aki Toggalen berjaya melarikan diri.
Seorang lagi pahlawan Dusun bernama Aki Daranding berjaya di tangkap. Aki Si
Gunting sebenarnya berjaya melarikan diri dan terus mengganggu pihak kompeni di
kawasan lain.
Pihak Kompeni berkata agak susah menyerang dan menawan Kubu
Kampung Sayap Pohon di mana tempat berkumpulnya ramai tokoh pahlawan gagah
berani dan pejuang hebat Dusun pada zaman itu disamping mereka memiliki sistem
pertahanan dan Kubu yang baik.
Pihak anggota polis melaporkan 2 orang terbunuh, 10 orang
cedera parah dan 8 orang lagi dengan pelbagai kecederaan. Anjing kesayangan
komandan juga mati terkena bujak. Jumlah keseluruhan anggota polis adalah 40
orang anggota konstabulari dan 60 anggota sukarela dayak.
Seorang Pahlawan yang gagah berani yang menyebelahi pihak
Kompeni bernama Nahkoda Usang terkorban dalam peperangan di Kampung Sayap
Pohon. Seorang tokoh yg amat berpengaruh, dihormati dan disegani oleh semua
pihak di kawasan pantai barat Sabah. North Borneo.
Kampung Sayap Pohon, menurut catatan Kapten Barnett pada
bulan July 1894, adalah merupakan satu kawasan yang subur berada lebih kurang
3,000 kaki dari paras laut yang banyak pokok buah buahan dan sekurang kurangnya
ada 2000 pokok kelapa. Jalan boleh di buat menuju ke Sayap Pohon dan jika siap
akan mengambil masa 6 jam saja untuk sampai ke Abai.
Apabila Kapten Barnett balik dari serangan Kampung Sayap
Pohon , beliau membawa 11 orang ketua masyarakat Dusun dan menunjukkan kepada
mereka sistem pentadbiran kompeni dan menyatakan bahawa adalah tidak betul
bermusuh dan menyerang kompeni.
Kapten Barnett membantu beberapa orang ketua masyarakat yg
cedera terkena tembakan peluru dan membuktikan bahawa walaupun mereka tidak menyokong
kompeni tetapi kompeni tetap akan membantu serta merawat penduduk tempatan yang
cedera.
Ketua masyarakat tersebut dibawa melawat pejabat kerajaan,
penjara, sekolah, hospital serta tempat tinggal anggota polis. Mereka semua
kemudiannya dihadiahkah dengan barang barang keperluan, makanan dan pakaian.
Sumber :
1. The British North Borneo Herald 1894.