Oleh Kumis Kumis
Sejak kebelakangan ini kami ada menerima beberapa pertanyaan
dari rakan peminat Sejarah Sabah North Borneo yang ingin mengetahui dengan
lebih mendalam lagi tentang kisah dan peristiwa "Batu Sumpah Tuaran-Kiau bertarikh
7.3.1887".
Di dalam perkongsian serta penceritaan sebelum ini, kami telah jelaskan serba sedikit kisah Perjanjian Damai Penungah (Pinungah) , Labuk- Kinabatangan yang berlaku pada tahun yang sama iaitu pada 3.5.1887 di mana Suku Sogilitan dari Labuk menyerang Suku Dusun Kinabatangan.
Kisah Batu Sumpah Tuaran-Kiau pula boleh dikatakan sebuah
kisah campur tangan pihak "kompeni" (Syarikat Berpiagam British Utara
Borneo) dalam soal peperangan Suku Lotud (Suang Lotud) dengan pelbagai Suku
lain di sekeliling Tuaran.
Suku Lotud antara sebilangan kecil Suku yang terkenal tidak
pernah berpindah randah keluar jauh dari Tuaran sejak kali pertama Suku Lotud
membuka penempatan Tuaran.
Ini bererti Suku Lotud telah lama dikenali sebagai satu Suku
yang akan mempertahankan Wilayah mereka bermati matian sehingga ketitisan darah
terakhir.
Menurut cerita seorang Ketua Kampung Mengkabung, Suku Bajau
Samah pernah menamakan sebuah bukit berdekatan Tuaran sebuah lokasi bekas tapak
peperangan antara Suku Dusun sebagai "Bukit Mandi Darah".
Penempatan Tuaran dibuka oleh Suku Lotud iaitu lebih awal
dari kedatangan Suku Bajau Samah di kawasan itu tetapi Suku Bajau Samah dapat
membuka penempatan di Mengkabong disebabkan kawasan itu belum di terokai lagi
oleh Suku Lotud.
Pihak "kompeni" berpendapat persengketaan Suku
Lotud ini dengan pelbagai Suku lain perlu diselesaikan segera demi mencapai
keamanan dan kestabilan yang berkekalan.
Dari kisah dan penceritaan Perjanjian Damai Penungah
(Pinungah) kita telah mendapat gambaran bahawa pihak "kompeni" sedang
memperkukuhkan sistem pentadbiran mereka di kawasan persisiran pantai sehingga
ke kawasan perdalaman.
Tujuan utama "Kompeni" yang amat penting pada masa
itu adalah menghentikan amalan "misangod" "mengayau"
memotong atau memburu kepala, dendam darah antara suku dan membuat perjanjian
taat setia kepada pentadbiran "kompeni" agar undang undang baru dan
pelan pembangunan ekonomi boleh dirancang serta dilaksanakan dengan lebih
teratur dan sempurna.
Suku Dusun Tuaran lebih dikenali dengan nama Suku Lotud
(Suang Lotud/Orang Lotud) yang merupakan salah satu kelompok Suku Dusun yang
tinggal di Persisiran pantai seperti antara lainnya Suku Momogun, Suku Rungus,
Suku Tombonuo, Suku Idaan, Suku Monnggigi, Suku Kadazan, Suku Tangaa (Tangara)
dan Suku Tatana.
Suku Lotud sungguh terkenal dengan amalan
"misangod" dan "mengayau" serta kerap kali berperang dengan
beberapa Suku Dusun, Suku Bajau dan Suku Iranun di keliling Tuaran sejak dulu
kala lagi.
Apabila Suku Lotud membuka penempatan di Tuaran ianya masih
hutan belukar dan rumput lalang di sebut mengunakan beberapa ayat seperti,
"Kapayan", "Pimpin" dan "Pandanus".
Perkampungan yang didiami oleh Suku Lotud adalah seperti di
Kampung Indai, Indai Baru, Dugang, Pukak, Diwata, Solupu, Masung, Mindou,
Lumawang, Dungang, Batangan, Pandamai, Marabahai, Dungun, Tagas, Panjut,
Tombolugu, Sawa, Bantayan, Damat, Rambai, Mangkaladoi, Bundung, Bulieng,
Tinambak, Pitas, Topokon dan beberapa Kampung lain lagi.
Suku Dusun Bukit pula antara yang utama adalah Suku Bundu
yang berperang dengan Suku Lotud dari zaman legenda lagi.
Di dalam kisah legenda Suku Bundu apabila mereka membuat
penempatan yang pertama di Kampung Tiung selepas perpindahan dari Nunuk Ragang,
Suku Lotud sudah ada di tapak tersebut.
Suku Bundu cuba untuk menguji kekuatan Suku Lotud maka
mereka mencuri dua sarang burung mistik milik Suku Lotud yang dinamakan
"Korogom", lalu mengatakan sarang burung tersebut milik mereka.
Menurut cerita legenda, sengketa sarang burung mistik ini
menjadi punca "misangod" dan "mengayau" antara Suku Bundu
dengan Suku Lotud yang cuma berakhir selepas campur tangan pihak
"kompeni" atau Kerajaan ketika itu.
Pihak Suku Bundu terpaksa membayar pampasan dan ganti rugi
kepada Suku Lotud. Antara pahlawan kegemilangan Suku Bundu adalah Bungkolong,
Subagar dan Kondihong yang semuanya mempunyai kuasa mistik dan luar biasa.
Suku Dusun Bukit lain adalah seperti Suku Tulun Lipasu,
Tulun Ganak Ganak dan Suku Pinausok yang pernah bergabung berperang dengan Suku
Lotud dan Suku Tulun Mongitum.
R.M. Little, Timbalan Residen, Wilayah Keppel, Utara Borneo
melawat Tuaran dan Kiau (Kota Belud) , atas tujuan berjumpa dengan pemimpin
masyarakat dan mewakili "kompeni" untuk menghentikan segala
peperangan dan masalah yang timbul dari amalan "misangod" memotong
kepala "mengayau" sambil memastikan sistem pentadbiran kompeni di
semua Daerah dan Kampung berjalan lancar.
Amalan "misangod memburu dan memotong kepala
"mengayau" merupakan tradisi turun temurun Suku Dusun di mana ada
yang mempercayai bahawa roh kepala musuh yang di simpan di kampung boleh
menjaga kampung itu dari bencana dan malapetaka serta memberikan pulangan hasil
pertanian yang lebih baik kepada para petani.
Jika berlaku peperangan antara suku pula, jumlah kepala yang
berjaya di potong menjadi perhitungan untuk memastikan siapa yang akan menang
atau kalah dalam peperangan antara suku tersebut.
Jika suku lawan mendapat jumlah kepala yang di potong lebih
dari satu kepala berbanding dengan suku yang satu lagi maka dendam darah suku
itu akan berterusan iaitu untuk membalas dendam untuk mendapatkan kembali satu
lagi atau lebih kepala musuh.
Dendam darah ini akan berterusan jika jumlah kepala yang
dipotong antara satu suku tidak seimbang.
Kepala wanita dan kanak kanak juga kadang kala di potong
untuk menggenapkan jumlah kepala yang di potong.
Dendam darah juga boleh diselesaikan melalui rundingan dan
bayaran ganti rugi yang sewajarnya.
Amalan rundingan ini digunakan oleh pihak kompeni sepenuhnya
untuk menghentikan semua amalan dendam darah, memburu dan memotong kepala.
Penceritaan kali ini agak panjang tetapi amat menarik
sebagai maklumat tambahan kepada pencinta dan peminat Sejarah Silam Sabah North
Borneo.
Maklumat yang kami kongsikan berikut adalah petikan dari
laporan rasmi tuan RM Little pada tahun 1887.
Pada bulan Februari, 1887, R.M. Little, Timbalan Residen,
Wilayah Keppel, Borneo Utara (Wilayah Pantai Barat, Sabah) menerima laporan
dari Pangeran Sahbudin iaitu seorang Pemimpin Masyarakat Tuaran-Sulaman, bahawa
Aki Gawang, salah seorang Pemimpin Masyarakat Suku Lotud Tuaran telah melawat
sejumlah 64 buah Kampung Suku Lotud Tuaran dan Suku Dusun Bukit di sekitar kaki
Gunung Kinabalu.
Dalam lawatan serta laporan Aki Gawang tersebut itu juga
menyatakan bahawa semua ketua atau pemimpin masyarakat Suku Lotud dan Suku Dusun Bukit di sekitar kaki Gunung
Kinabalu telah bersetuju memberi taat
setia kepada kerajaan (kompeni), membuat perjanjian damai dan melakukan upacara
sumpah serta menghentikan amalan memotong kepala.
Mereka mencadangkan di satu tempat bernama Kampung Kiau, Kota Belud sebagai
tapak Perjanjian Damai dan Batu Sumpah yang sebaiknya di hadiri dan disaksikan
oleh Tuan R.M. Little, sebagai seorang wakil kanan kerajaan.
Peperangan dan amalan memotong kepala antara Suku Lotud
Tuaran dengan Suku Dusun Bukit sekitar kaki Gunung Kinabalu telah lama berlaku
tetapi agak lebih kerap lagi apabila perniagaan di "Tamu" mula beroperasi
sejak tahun 1885.
Suku Dusun Bukit, Suku Tulun Lipasu, Tulun Ganak Ganak, Suku
Pinausok, Suku Tindal, Suku Bundu, Suku Momogun, Suku Rungus Kudat, Suku
Kimaragang Bengkoka, Suku Tebilong Inanam, Suku Telibong Kota Marudu dan Suku
Tagahas semuanya bermusuhan dengan Suku Lotud serta berperang dan mengayau
antara satu sama lain.
Peperangan Suku Lotud ini dengan beberapa Suku di keliling
Tuaran sampai ke tahap luar kawalan lalu mengundang campur tangan pihak
Kerajaan.
Suku Lotud pernah berperang menentang suku Tindal dengan
masing masing membawa 1000 orang pahlawan atau angkatan perang dan masalah
tersebut cuma selesai dengan campur tangan pihak Kerajaan (Dalrymple, 1883).
Aktiviti perniagaan di Tamu Tuaran yang terletak di Kampung
Madang berhampiran Sungai Damit, dari cabang Sungai Tuaran, dihadiri oleh ramai
masyarakat tempatan Suku Bajau dan Suku Dusun dari Tempasuk, Tuaran, Sulaman,
Mengkabong dan Suku Dusun Bukit sekitar kaki Gunung Kinabalu.
Pada 16.2.1887, R.M Little melawat Tuaran dan Tuan Residen Davies
cuba mengatur pertemuan beliau dengan seorang pemimpin masyarakat Tempasuk
berhubung mencari gua sarang burung di kawasan kaki Gunung Kinabalu tetapi
malangnya setelah menunggu selama dua minggu ketua masyarakat Tempasuk tersebut
tidak dapat datang.
Tuan R.M. Little seterusnya melawat kawasan Kampung Madang
yang ketika itu telah menjadi tempat penginapan sementara oleh Suku Dusun Bukit
apabila datang berniaga semasa Tamu. R.M. Little berjumpa dengan seorang
pengusaha rumah penginapan bernama Ahmat dari Suku Bisaya berasal dari Papar
yang telah berkahwin dengan isterinya dari Suku Dusun. Ahmat mendapat rumah
penginapan tersebut dari Haji Jemuludin selepas beliau meninggal dunia. Ahmat
akhirnya menjadi ketua kampung Madang, Tuaran.
Pada 28.2.1887, R.M. Little mula bergerak ke Kampung
Telibong, di tebing Sungai Tuaran bersama 16 orang pembantu Suku Dusun, Seorang
Melayu Brunei dan dua orang Dayak. Bagi pihak kerajaan tuan R.M. Little diiringi oleh Pangeran
Sahbudin, Kerani Usman, Aki Gawang (Aki Gawang membawa tombak yang ada bendera
berkibar dan memakai sejenis tali pinggang yang mempunyai tempat letak peluru,
tali pinggang tersebut melambangkan status seseorang) dan dua orang anggota
polis. Mereka juga membawa 6 laras senapang snider dan selaras senapang
spencer. R.M. Little bermalam di rumah seorang Ibu, Suku Bajau yang bersuami
Suku Dusun.
Pada 1.3.1887, R.M. Little menghadiri "Pesta
Buntai" di sebuah kawasan sejauh 40 minit perjalanan dari Kampung
Telibong. Lebih dari 500 orang menghadiri pesta tersebut dan Ketua Kampung
Telibong bernama Lampayan di mana beliau menyampaikan salam dari Datoh Kabong,
yang merasa gembira dengan hasrat tuan R.M. Little untuk pergi ke Kiau. Di
Kampung Telibong, Tuan R.M. Little bermalam di rumah seorang Dusun yang bernama
Dumanker yang mempunyai 4 orang isteri dan 7 orang anak.
Pada 2.3.1887, R.M. Little tiba ke Kampung Buntai dan
meneruskan perjalanan ke Kampung Similan. Mereka melintasi bukit Kamis dan
Tiwong dan berhenti sekejap meminum air yang di simpan di dalam bambu. Di
Kampung Similan terdapat 6 buah rumah dan 2 Ketua Kampung bernama Mah Tangaris
dan Mah Solongkod yang membuat bayaran cukai atau Poll Tax kepada kompeni.
Aktiviti utama mereka adalah menanam padi.
Pada 3.3.1887, Rombongan R.M. Little meneruskan perjalanan
melintasi Bukit Nilan, Bukit Tingkahang, Bukit Manjok Sirong dan sampai ke
Kampung Kalawat. Dari Kampung Kalawat mereka bergerak turun ke Sungai Tinuman,
cabang Sungai Mantaranan sehingga ke Kampung Bongol di mana Ketua Kampungnya
bernama Datoh Benawa.
R.M. Little cuba berehat di rumah Bansayan tetapi di larang
oleh Bansayan. Aki Gawang bertemu dengan Datoh Benawa dan mengatur untuk
membawa R.M.Little untuk pindah berehat di rumah Datoh Benawa. Bansayan
kemudian memohon maaf jika ada berlaku salah faham. Di rumah Datoh Benawa
R.M. Little berjumpa dua orang lelaki bernama Si Daiin dan
Si Giban dan dua orang wanita bernama Kambino dan Kaudeh yang baru sampai dari
kawasan Sindatun (Sondoton) menjual Tembakau. Si Daiin menceritakan semua
pengikut Sindatun di sebelah Sungai Sinalang akan memberi taat setia kepada
kompeni.
Rombongan R.M. Little, bergerak menuju ke Sungai Mantaranan
yang bersambung dengan Sungai Kamulau yang masih di kira cabang Sungai Tuaran
antara Kampung Linggah dan Bayag.
Di Kampung Kalausatan (Kalansatan) , Ketua Kampungnya
bernama Gantok, di mana beliau juga merupakan Ketua Suku Tagahas. Suku Tagahas
walaupun bermusuhan dengan Suku Bundu tetapi pernah bergabung menyerang Suku
Lotud sehingga membawa campur tangan pihak Kerajaan pada tahun 1886.
R.M. Little berunding dengan Gantok dari Suku Tagahas yang
masih berdendam dan tidak mahu menghentikan amalan misangod dan mengayau dengan
musuh ketat mereka iaitu Suku Lotud Tuaran.
R.M. Little menganggarkan bahawa Suku Tagahas mempunyai
jumlah pengikut sekitar 4000 hingga 5000 orang.
Gantok, Ketua Suku Tagahas akhirnya bersetuju menghentikan
Misangod dan Mengayau dengan Suku Lotud apabila R. M. Little memberi kebenaran
kepada mereka untuk berniaga di Tamu Tamparuli dan menjanjikan keamanan kepada
semua Suku.
Pada sebelah petang R.M. Little berjumpa Ketua Suku Rungus
Maragang (Rungus dan Kimaragang) untuk menyelesaikan masalah dendam darah dan
amalan memburu serta memotong kepala terhadap Nahkoda Radin dan angkatan perang
Suku Lotud beliau di Tuaran.
R.M. Little mendapati seorang bernama Kubud dari Rambatuan
(Tombotuon) memberi tahu Ketua Suku Rungus Maragang bahawa Kampung Topokon
dekat Kampung Madang, Tuaran bukan di bawah kuasa Kompeni maka mereka membunuh
seorang yang bernama Simpagawan untuk membalas dendam pembunuhan 18 orang
wanita dan kanak kanak oleh angkatan perang Nahkoda Radin (Suku Dayak) atas
arahan Pangeran Kerma Indera, wakil Sultan Brunei di Tuaran.
Disebabkan peristiwa pembunuhan di Rambatuan (Tombotuon) ,
Nahkoda Radin dan angkatan perang beliau menjadi orang buruan Suku Rungus
Maragang (Rungus dan Kimaragang) .
Setelah wilayah Sungai Tulin Tuaran diserahkan kepada pihak
Kompeni, Nahkoda Radin terpaksa berpindah ke Mengakabong di mana beliau
meninggal dunia pada tahun 1885. Tanpa campur tangan R.M. Little dendam darah
Suku Rungus Maragang (Rungus dan Kimaragang) terhadap Nahkoda Radin dan
pengikut beliau mungkin tidak akan selesai.
Pada 5.3.1887, Rombongan R.M. Little meninggalkan Kampung
Bongol disertai oleh Datoh Benawa. Mereka bertemu dengan Lampayan Ketua Kampung
Kahong (Kaung) dan bergerak ke Lobong Lobong merentasi Sungai Kedamaian
sebanyak dua kali sehingga sampai ke rumah Mah Tampulau. (Mah bererti
"Tamah" atau bapa dan "Tidih" bererti ibu).
Mah Tampulau memberitahu R.M. Little bahawa Tuan Whitehead
berada di Melangkap membuat kajian pelbagai spesis burung. R.M. Little cuba
membeli kulit kucing harimau dengan bertukar dua gulung kain hitam tetapi tuan
punya kulit tersebut tidak bersetuju.
Pada 6.3.1887 berada di Kampung Lobong Lobong di mana
kampung ini akan memberi dua ekor kerbau sebagai bayaran cukai kepada kerajaan
dan akan diuruskan oleh Lampayan dan Tampalau. Kerbau ini di korbankan sempena
upacara perjanjian damai.
Pada 7.3.1887 jam 5.45 pagi Datoh Bunahow dan Datoh Kabong,
Pemimpin Masyarakat Kiau, Kota Belud tiba dan upacara bermula dengan beberapa das tembakan hormat oleh anggota
polis, bendera Kompeni dinaikkan, kerbau
disembelih oleh Kerani Usman.
Batu Sumpah berbentuk empat segi di tanam berdiri tegak
sambil di pegang oleh Suku Dusun Tuaran dan Suku Dusun Bukit sebagai tanda taat
setia kepada pihak kompeni, perjanjian perdamaian dan tanda persahabatan selama
lamanya buat semua pihak yang terbabit.
Di dalam lubang atau dasar batu sumpah tersebut R.M. Little
meletakkan duit syiling satu sen straits settlement menggantikan duit syiling
BNB.
Kinabalu diseru untuk menjadi saksi kepada upacara batu
sumpah hari itu dan tiba tiba cahaya matahari bersinar disebalik kegelapan awan
mendung yang menyelebungi kawasan batu sumpah tersebut. Cahaya dan sinar
matahari tadi dianggap sebagai satu tanda yang gembira oleh semua orang yang
hadir.
Pada 9.3.1887, Rombongan R.M. Little mula bergerak turun
dari Kampung Kiau, Kota Belud ke Tuaran.
Begitulah kisah dan berakhirnya upacara Perjanjian
Perdamaian dan Batu Sumpah, Tuaran-Kiau di mana perang dan persengketaan antara
Suku telah berjaya dihentikan oleh pihak kompeni.
Peristiwa ini juga kali terakhir upacara bacaan dan
sembayang sejenis amalan sebelum dan selepas "misangod""mengayau"
seperti "Tandahau" (semangat kepala), "Mitaruk" (korban
kerbau dan sumpah langgar sumpah), "Kopioh" (nasib baik) ,
"Toburik" (sejenis trompet bambu) , "Sigandai" (tempat suci),
"Tinompok" (Batu tanda) beransur hilang dan jarang diamalkan lagi.
Nota : ada ejaan nama orang dan tempat mungkin silap sila
bantu perbetulkan.
Sumber :
1. The British North Borneo Herald 1.7.1887
2. R.M. Little, Report on Journey From Tuaran to Kiau and
ascent to Kinabalu Mountain, 1.7.1887
3. I.H.N. Evans, The Religion of the Tempasuk Dusun, 1953
4. PS Shim, Inland People of Sabah, 2007