Oleh Kumis Kumis
Ini adalah sebuah kisah seorang Pengiran Temmengung Kesultanan Melayu Brunei yang pintar, segak, kuat dan gagah perkasa serta luar biasa.
Pengiran Temmengung ini hidup di zaman dulu kala, di kawasan
pantai barat Borneo Utara sungguh terkenal kegemilangannya yang selalu beroleh
kejayaan dan kemenangan berperang dengan musuh serta bersungguh sungguh menjaga
kebajikan rakyat sehingga masyhur mendapat gelaran Raja Tua Mengkabong.
Menurut catatan pengkaji sejarah barat dan cerita orang tua
tua bahawa pernah wujud suatu penempatan legenda, keramat, mistik dan
bersejarah yang suatu masa dulu amat terkenal di seluruh Nusantara menjadi
sebuah pengkalan atau pelabuhan kepada para nelayan, kapal dagang dan markas
angkatan perang tentera laut Kesultanan Brunei yang bernama Tanjung Dallad atau
Dalas yang hari ini lebih dikenali dengan nama sebagai, Mengkabong (Suang
Engkabong).
Wilayah pentadbiran Sungai Tulin Mengkabong semasa Pg
Temmenggung Raja Tua adalah termasuk Sungai Tulin, Sungai Kuripan dan Sungai
Kerajaan persisiran pantai barat Borneo Utara yg berhampiran atau sekeliling
dengan Mengkabong antaranya Tempasuk, Abai, Pandasan, Ambong, Sulaman, Tuaran,
Tambalang, Darau, Menggatal, Inanam, Likas, Api Api, Simbulan, Tanjung Aru,
Putatan, Kinarut, Kawang dan Penggalat Papar atas dasar kedudukan dan
penempatan angkatan tentera Suku Bajau Samah dari Johor di zaman itu.
Pengiran Temmenggung Sahibul Bahar Abdul Momin Amirul Faza
Ibni Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Anak Ampuan Untong Ibni
Sultan Abdul Jalilul Jabbar (Sultan Brunei ke 11) , pada penghujung abad ke 18
telah dititahkan oleh Sultan Omar Ali Saifuddin 1 (Sultan Brunei ke 18) untuk
berangkat ke Menggatal untuk memerangi Suku Belingingi dan Illanun yang
mempunyai hubungan baik dengan Sharif Usman, Kesultanan Sulu dan Kesultanan
Magindanau.
Suku Belingingi dan Illanun telah bermaharajalela di
perairan dan perkampungan persisiran pantai barat Borneo Utara dengan membakar
rumah orang kampung serta membawa lari ahli keluarga dan ternakan penduduk
kampung.
Ahli keluarga penduduk kampung ini ada yang di jual menjadi
hamba abdi di beberapa tempat seperti Tawi Tawi dan Jolo kepulauan Filipina dan
beberapa Negara Nusantara yang lain. Keluarga berpecah belah dan kehidupan
rakyat bertambah susah.
Pada masa yang sama ada beberapa orang golongan pembesar
tempatan yang di lantik oleh Kesultanan Brunei seperti Sharif Usman dari Kota
Marudu cuba untuk melepaskan diri beliau dari pengaruh Kesultanan Brunei dan
cuba mendapatkan sokongan Kesultanan Sulu.
Ada catatan sejarah mengatakan bahawa Sharif Usman mempunyai
hubungan yg rapat dengan Pengiran Yusof yg dikatakan agak rapat dengan golongan
istana Kesultanan Brunei. Sharif Usman bercita cita meluaskan wilayah tanah
dalam bidang kuasanya dari Kota Marudu sehingga ke arah selatan Borneo Utara
dengan menggunakan pengaruh Kesultanan Sulu.
Fungsi seorang Pengiran Temmenggung adalah bertanggung jawab
untuk mengepalai angkatan bersenjata di kawasan darat dan laut. Pengiran
Temmenggung ketika itu mengepalai angkatan tentera laut yg kuat dan digeruni
sehingga mendapat gelaran Raja Laut.
Pengiran Temmengung akan menyediakan angkatan perang dengan
mengarahkan rakyat untuk menyertai angkatan perang Brunei bagi melancarkan
serangan terhadap musuh Kerajaan Kesultanan Brunei .
Pengiran Temmenggung juga terlibat dalam mengawasi kegiatan
perdagangan di seluruh wilayah
Kesultanan Melayu Brunei dan Negara Nusantara lain di bantu oleh
Pengiran Syahbandar dan ketua ketua tempatan.
Pengiran Temmenggung juga memainkan peranan dalam
melaksanakan undang undang seperti yang diperintahkan oleh Sultan. Beliau
berkuasa menangkap orang orang yang melakukan kesalahan dan seterusnya
menjatuhkan hukuman ke atas mereka. Selain itu, Pengiran Temmenggung juga
bertanggung jawab dalam pentadbiran agama islam.
Oleh itu beliau di bantu oleh golongan Sharif, Menteri
Agama, Datuk Imam, SiRaja Khatib, Udana Khatib, segala khatib dan mudim.
Disamping itu Pengiran Temmenggung berperanan dalam pentadbiran kebajikan
masyarakat, kebajikan anak anak yatim dan golongan yang tertindas. Dalam
menjalankan tugas, Pengiran Temmenggung di bantu oleh 8 orang ceteria dan 8
orang menteri antaranya Orang Kaya Syahbandar, Orang Kaya Setia Pahlawan, Orang
Kaya Hamzah Pahlawan, Orang Kaya Amar Pahlawan, Orang Kaya Johan Pahlawan,
Pateh dan Damong .
Menurut catatan Sir Hugh Low dan Forrest mengatakan bahawa
Suku Bajau Samah Mengkabong adalah golongan nelayan yang gigih mencari hasil
laut. Mereka berasal dari Johor dari sebelah timur Selat Melaka.
Mereka suka tinggal dekat dengan laut dengan mendirikan
rumah di atas air dan biasanya di muara sungai menggunakan tiang tiang kecil.
Di Mengkabong saja ketika itu Suku Bajau Samah boleh mengumpul sehingga 2000
orang angkatan tentera ,1000 ada di Mengkabong , 600 orang ada di Tempasuk, 400
orang ada di Pandasan dan selebihnya dari Abai, Ambong dan Sulaman.
Tanggung jawab Pengiran Temmenggung bukan saja menjaga
Wilayah jajahan Sungai Tulin Mengkabong malah keseluruhan Wilayah jajahan
Kesultanan Brunei. Menurut catatan Spencer "Suku Bajau Samah mempunyai
satu ciri sikap kesetiaan yg amat tinggi, setiakawan dan ikatan serta hubungan
kekeluargaan yang sungguh kuat sehinggakan pernah berlaku satu peristiwa di
mana anak anak kapal yg berasal dari Suku Bajau Samah Mengkabong yang berlayar
disebuah kapal perdagangan bergaduh dengan anak kapal suku lain sehingga ada yg
terbunuh.
Seorang anak kapal berasal dari Mengkabong ini berjaya lari
dari kapal dagang itu lalu mengayuh perahu sehingga ke Mengkabong, setibanya
dia di Mengkabong anak kapal tersebut menceritakan kesusahan dan kejadian yg
berlaku terhadap mereka di atas kapal dagang tersebut maka secara tiba tiba
hampir seluruh penduduk kampung Mengkabong berkumpul dan serta merta membuat
keputusan menyediakan beberapa perahu angkatan perang dan terus menyerang serta
membakar kapal dagang tersebut sambil mengambil semua isi kapal dagang
tersebut.
Apabila suasana sudah kembali tenang dan bila ditanya apakah
sebenarnya yang berlaku di atas kapal , anak kapal dari Mengkabong tersebut
menjawab bahawa pergaduhan itu sebenarnya bermula dari salah mereka sendiri
secara tidak sengaja dan apabila anggota angkatan perang yg ikut serta tadi
ditanya kenapa mereka menyerang kapal dagang tersebut, jawab mereka tidak tahu
cuma sekadar ikut apa orang lain buat saja.
Sikap mereka sebegini adalah menjadi faktor kelemahan dan
kekuatan Suku Bajau Samah sehingga mereka sungguh dihormati digeruni oleh suku
suku lain".
Mengkabong berhampiran dengan Tuaran di mana terdapat sebuah
kawasan bernama Indai merupakan kubu kuat Suku Lotud yang tidak kurang hebatnya
dari segi kegagahan, kekuatan mistik dan luar biasa.
Suku Lotud mempunyai sejarah perang menentang pelbagai Suku
yang dipanggil Misangod Random sehingga kubu mereka penuh dengan darah. Suku
Lotud juga berjaya menyerang Suku Illanun yg berkampung di Tuaran sehingga Suku
Illanun itu terpaksa berpindah ke kawasan Tempasuk.
Suku Bajau Samah dan Suku Lotud mempunyai perjanjian
kerjasama dan sumpah sekaum sambil mempunyai ikatan kekeluargaan melalui
perkahwinan antara beberapa keluarga dikalangan kedua dua suku ini.
Pengiran Temmenggung Raja Tua Mengkabong sendiri menghormati
adat tempatan iaitu perjanjian dalam perkahwinan telah berkahwin dengan seorang
gadis dari Menggatal dan mempunyai beberapa orang anak lelaki yang pintar
masyhur kegemilangan bernama Datu Temmengung, Datu Ilang dan Datu Tugu yang
menjadi pembesar dan pahlawan hebat dan gagah perkasa yang sentiasa bersedia
taat setia memerangi musuh Kesultanan Brunei di seluruh wilayah jajahan dan
nusantara.
Keturunan dan susurgalur Pengiran Temmengung Raja Tua
Mengkabong masih ada di Mengkabong dan tersebar keseluruh wilayah tanah jajahan
Mengkabong dan sekitarnya. Dengan kedudukan Pengiran Temmenggung Raja Tua
Mengkabong yang strategik di "Jungko" dengan memiliki kekuatan angkatan
tentera gabungan pelbagai suku kaum Iban, Dayak, Lotud dan Bajau Samah yang
sungguh hebat gagah perkasa serta memiliki sebuah Kubu pertahanan yang kuat dan
mistik bernama "Kubu Mandi Darah", di kawasan Pantai Barat Borneo
Utara.
Pengiran Temmenggung berjaya menghalang pelbagai serangan
musuh dan menghentikan rancangan peluasan kawasan dan pengaruh Sharif Usman
serta Sultan Sulu di kawasan lain di Sabah.
Beliau berjaya menjadikan Mengkabong sebagai sebuah benteng
pertahanan yang kukuh dan ramai yang terkorban gugur sebagai pejuang bangsa dan
negara dengan cuba mengelakkan ibu negara Brunei dari di serang tentera
Balingingi, Illanun dan Sulu.
Ada satu legenda pernah dikatakan bahawa apabila pihak musuh
masuk ke kawasan sungai Mengkabong dengan tidak berniat baik, maka mereka akan
gagal dapat mencari jalan keluar sehingga mereka menjadi kaku dan keras. Ketika
itu pihak musuh ini terpaksa bersumpah untuk tidak lagi membuat kacau dan
datang balik ke kawasan Mengkabong.
Ada antara mereka yang dibebaskan dan yang lainnya mati
dibunuh oleh tentera Mengkabong. Pengiran Temenggung tidak merasa cukup dengan
hanya sekadar mempertahankan Mengkabong dari diserang oleh musuh , berdasarkan
cerita lisan golongan tua Mengkabong yang masih ingat cerita silam mengatakan
bahawa Pengiran Temmenggung sendiri melancarkan serangan balas dengan
menghantar angkatan tentera Mengkabong yang diketuai oleh anak anaknya menyerang
balas kawasan kawasan musuh sehingga ke perairan Sharif Usman, Kesultanan Sulu,
Kesultanan Magindanau di Filipina serta Kawasan Limbang, Mukah, Oyah dan Sambas
di Sarawak.
Demi menegakkan syiar islam, Pengiran Temmengung juga
menghantar tentera Mengkabong berperang menentang tentera Sepanyol dan
dikatakan mempunyai seorang anak angkat dari golongan bangsawan Kesultanan
Mangindanau yang di bela dan di didik beliau menjadi seorang Panglima gagah
perkasa berilmu mistik tinggi yang terkenal mendapat banyak kecederaan termasuk
kecederaan teruk dimuka sehingga terpaksa menggunakan topeng muka dan akhirnya
menjadi seorang Raja dan Sultan di Kesultanan Magindanau.
Pengiran Temmenggung Abdul Momin Amirul Faza apabila
dititahkan untuk pergi berperang di Menggatal sebenarnya mempunyai isteri dan
ramai anak yang ditinggalkan di ibu negara Brunei seperti Pengiran Bendahara
Alliuddin, Pengiran Temmengung Pengiran Abdul Rajid, Pengiran Maharaja Dinda,
Pengiran Abdul Naji, Pengiran Abdul Wali, Pengiran Amir Abas, Pengiran Abdul
Jalil, Pengiran Jaga, Pengiran Jariah, Pengiran Isteri Ghandi dan Pengiran
Abdul Ghafur.
Pengiran Temmenggung lindung di Mengkabong tanpa dapat
kembali ke ibu negara Brunei dan tidak dapat berjumpa anak anak serta sanak
saudara yg dikasihi dan dirindui atas dasar pengorbanan dan kesetiaan
melaksanakan titah Sultan. Ada orang tua tua mengatakan Pengiran Temmengung
cuba memenuhi titah tuanku Sultan Omar Ali Saifuddin 1, memerangi musuh negara
sehingga titisan darah terakhir dan memastikan tiada rakyat yang mendapat
kesusahan dari serangan musuh lagi.
Perjuangan beliau di sambung oleh anak anak beliau yang
lain. Mereka sebenarnya berjaya mempertahankan Mengkabong. Hari ini ramai
dikalangan susurgalur mereka menjadi tokoh tokoh besar dan ternama di Sabah.
Jasa besar Pengiran Temmengung Abdul Momin Amirul Faza
adalah beliau berjaya menyatupadukan atau mengabungkan penduduk Mengkabong dan
seluruh wilayah jajahannya dan kawasan sekitarnya dari pelbagai suku kaum tidak
kira bangsa dan agama kepercayaan sama ada Brunei, Bajau, Dusun, Kadazan, Iban
dan Dayak agar sama sama berjuang menentang angkatan tentera musuh dari dalam
dan luar Borneo Utara.
Sumber :
1. Spencer St John, 1863,
2. Henry Ling Roth/Hugh Brooke Low, 1896,
3. Tarling, 1978,
4. Pehin Jamil, 1999,
5. Prof Ranjit Singh, 2000,
6. PS Shim, 2007,
7. Prof Asbol, 2011
Kerjasama dengan Tuan Samah Senorob dan En Sahar Bin Hj Piassin
Gambar : Guttenberg Project
No comments:
Post a Comment