Thursday, March 25, 2021

Sejarah Ringkas Pahlawan Dusun Aki Gumboi dan Aki Lengkatu, Kampung Melangkap, Kota Belud (Aki Gomboi dan Aki Linggatu)

Menjejak Sejarah Silam Sabah North Borneo 

 

Sejarah Ringkas Pahlawan Dusun Aki Gumboi dan Aki Lengkatu, Kampung Melangkap, Kota Belud (Aki Gomboi dan Aki Linggatu)

 

Oleh Kumis Kumis

 

The British North Borneo Herald

Apabila kita melawat Kampung Melangkap, Kota Belud, pasti kita akan menemui satu kawasan lembah Gunung Kinabalu yang amat cantik dengan suasana serta pemandangan yang indah, seolah olah kita berada di satu kawasan yang cuma wujud di luar negara sehingga Kampung ini menjadi daya tarikan pelawat dari dalam dan luar Negeri. 

Kampung Melangkap memiliki suatu keindahan alam semula jadi anugerah Tuhan yang menjadi kebanggaan penduduk Kampung Melangkap. 

Air sungai yang sejuk dan jernih sesuai dijadikan tempat aktiviti riadah bersama keluarga dan rakan rakan di hujung minggu. Satu tempat di mana orang ramai boleh bermandi manda serta menjadi lokasi perkhemahan kepada mereka yang ingin bermalam di kawasan ini. 

Disebalik suasana pemandangan semula jadi yang indah dan mendamaikan ini tersimpan serta tertulis sebuah kisah sejarah perjuangan dan ketokohan penduduk tempatan Kampung Melangkap menentang penjajah barat yang sebelum ini tidak pernah dikongsikan. 

Sebuah kisah penentangan awal pahlawan Suku Dusun terhadap Syarikat Berpiagam Borneo Utara British sebelum pemberontakan Aki Sigunting, Kota Marudu dan Mat Salleh, Sugut pada tahun 1894.

 

The British North Borneo Herald

Sekitar awal tahun 1893, penduduk tempatan Suku Dusun Kampung Melangkap yang diketuai oleh seorang pahlawan hebat gagah berani bernama Aki Gumboi di bantu oleh adiknya bernama Aki Lengkatu telah mengisytiharkan pemberontakan menentang penjajah barat dan tidak mahu mematuhi arahan kompeni dengan menyerang banyak kampung berdekatan serta kawasan sekitar yang menyokong pihak penjajah.

 Pemberontakan ini bermula atas sebab tidak puas hati dengan beberapa peraturan serta undang undang baru yang diperkenalkan oleh pihak kompeni terutamanya dalam soal bayaran cukai kepala. 

 Salah seorang Suku Dusun Ginambor melaporkan bahawa Aki Gumboi dari Kampung Melangkap, bersama 13 orang pengikutnya menyerang serta memasuki rumah dan merampas harta benda termasuk mencabut tiang rumah beliau. 

 Tuan George Ormsby pegawai kompeni tanpa membuang masa membawa pasukan dan anggota polis khas Dayak menyerang Aki Gumboi dan Aki Lengkatu di Kampung Melangkap di mana mereka gagal mengalahkan serta menangkap Aki Gumboi dan Aki Lengkatu.

 Aki Gumboi dikatakan memiliki ilmu mistik dan luar biasa di mana beliau bukan mudah dikalahkan atau di tangkap oleh sesiapa.

 Setiap serangan pihak penjajah rumah beliau di Kampung Melangkap akan di bakar oleh anggota polis sebagai hukuman dan peringatan kepada orang Kampung agar tidak memberontak.

 Tetapi sebaik saja pihak polis beredar orang Kampung atas kasih sayang dan sokongan padu kepada ketua Kampung mereka akan bergotong royong membina rumah Aki Gumboi semula.

 Kisah membakar rumah Aki Gumboi ini bukan sekali dua tapi banyak kali dan setiap itu juga orang Kampung akan bergotong royong membuat rumah beliau kembali.

 Menurut cerita lisan Puan Soliah, anggota polis bukan saja membakar rumah Aki Gumboi tetapi membakar juga rumah orang Kampung yang tidak bersalah. Perkara ini menimbulkan lagi kemarahan orang Kampung sehingga berlaku Peperangan sengit antara Anggota polis dan penduduk Kampung di mana ramai anggota polis yang cedera dan terkorban. 

The British North Borneo Herald

Tuan Ormsby membuat keputusan untuk membina pejabat pentadbiran kompeni di Kampung Kaung, Kota Belud agar mudah berjumpa dengan Ketua Kampung kawasan tersebut serta mengutip cukai sambil mengemaskini sistem pemantauan  kawasan sekitarnya agar lebih baik dan berkesan. 

Pada waktu itu pihak kompeni dan anggota polis tidak mempunyai kekuatan untuk berperang dengan penduduk tempatan dengan skala besar kerana ianya melibatkan kos dan perbelanjaan yang tinggi.

Disamping itu polisi kompeni adalah untuk berbaik dan bekerjasama dengan penduduk pribumi dengan berjumpa pemimpin tempatan agar bekerjasama dan menyokong kompeni.

Perjuangan Aki Gumboi berakhir pada penghujung tahun 1893 apabila Aki Lengkatu berjaya ditangkap oleh anggota polis bernama Sarjan Baling di satu tempat bernama Ginambor, Kota Belud.

Atas kegagahan dan keberanian Aki Gumboi maka beliau dilantik menjadi pemimpin tempatan dan di beri penghormatan untuk berkhidmat dengan kompeni dalam usaha menyatu padukan dan menanam keyakinan penduduk tempatan bahawa pihak kompeni sebenarnya ingin bekerjasama dengan penduduk tempatan dan membantu membangunkan  kawasan tersebut.

Pihak penulis memohon maaf jika ada maklumat atau sebutan yang tidak tepat dan berharap agar diperbetulkan.

Sekiranya ada maklumat tambahan yang boleh memperbaiki lagi penulisan ini adalah sangat dialu alukan.

 

#Kalaubukankitasiapalagi. 

#KitaKitasajabahni... 

 

Sumber : 

 

1. The British North Borneo Herald 1894 

2. Arkib Negeri Sabah 

3. Temubual penulis dengan Puan Soliah Garob, Kampung

Melangkap Tomis (Cicit Aki Gumboi) 

4. Terima kasih kepada rakan penjejak Sejarah Sabah Borneo,

Kota Belud, En Sahar Hj Piassin, Roslan Hj Masran dan Muhammad Shuzairie Perli

 

 


No comments:

Post a Comment

Sabah/North Borneo: Chronological Notes and Important Dates

Edited By Kumis Kumis  1.  INTRODUCTION North Borneo  occupies the northern portion of the Island of Borneo and was a British-Protected stat...