Menjejak Sejarah Silam Sabah North Borneo
Dimanakah Fort Alfred atau Kota Alfred di Tempasuk, Kota Belud?
oleh Kumis Kumis
Sungai Tempasuk Kota Belud |
Minggu ini kami peminat Sejarah Sabah North Borneo bergerak
menuju ke Kota Belud atas undangan rakan rakan di Kota Belud demi menjejak satu tapak warisan bersejarah penting di
Daerah Kota Belud yang telah hilang di telan zaman.
Di dalam kita mengharungi liku liku kehidupan harian dan membayangkan pembangunan Kota Belud di masa akan datang terutamanya dalam bidang perlancongan yang boleh mendatangkan pendapatan dan peluang pekerjaan kepada anak tempatan maka ada baiknya kita mengimbau kembali salah satu sejarah silam Kota Belud iaitu kisah sebuah Kota lama atau Kubu terawal di Borneo Utara yang digunakan
oleh pegawai British di zaman lampau.
Kota atau Kubu itu bernama "Fort Alfred" atau "Kota Alfred" yang sepatutnya pada hari ini terletak di tebing Sungai Tempasuk, Kota Belud.
Kota Alfred dikatakan di ambil sempena nama Sir Alfred Dent, pengasas kepada British North Borneo Chartered Company yang di bina oleh William Prettyman pada tahun 1878 untuk dijadikan kawasan penempatan serta pusat pentadbiran pihak kompeni di "Wilayah Utara Keppel" atau Wilayah Pantai Barat Borneo Utara.
Menurut catatan pihak Kolonial, Kota Alfred masih digunakan
sepenuhnya di zaman pemberontakan Mat Salleh, Si Gunting, Si Langkap, Sadik dan
Komunta dari tahun 1894-1905 setelah 20 tahun Kota itu di bina.
Hubungan antara pihak kolonial dengan penduduk tempatan pada awalnya mendapat banyak tentangan sehingga mendatangkan kebencian serta berlaku beberapa sengketa dan peristiwa pemberontakan berdarah penduduk tempatan dengan pihak penjajah yang tidak dapat dilupakan selama lamanya.
Setelah sekian lama dibawah pentadbiran mereka maka kita nampak banyak kemajuan dari segi pendidikan, ekonomi, sosial dan pembangunan infrastruktur di Kota Belud. Namun usaha pembangunan ini perlu diteruskan demi kesinambungan kegiatan ekonomi yang boleh mempertabatkan setiap keluarga serta memperkasakan kekuatan jati diri generasi baru agar mereka boleh menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
Fort Alfred |
William Prettyman merupakan Residen, Pantai Barat Borneo Utara yang pertama dilantik mewakili Overback dan Alfred Dent pada peringkat awal sebelum penubuhan BNBC.
William Prettyman mendarat di tebing Sungai Tempasuk pada 22hb April 1878 bersama dua orang pembantu beliau bernama J. Peltzer dan Hochstadt.
Setibanya mereka di Kota Belud, William Prettyman terpaksa berdepan dengan kemelut pemusuhan antara tiga kaum utama iaitu Iranun, Bajau Samah dan Dusun dalam suasana yang amat bahaya dan tidak tenteram serta sikap penduduk tempatan yang tidak menerima sebarang bentuk sistem pentadbiran sesebuah Kerajaan terutamanya Kerajaan baru.
Atas faktor keselamatan, William Prettyman terpaksa memohon pelindungan dari Datu Rambangan bekas Ketua Jajahan yang di lantik oleh Sultan Brunei yang sebelum ini telah berhenti dari menyandang jawatan tersebut kerana tidak berjaya mengawal suku Bajau Samah yang cenderung membuat kekacauan.
Pada mulanya William Prettyman tidak mempunyai sesiapa yang boleh membantu beliau menyiapkan pembinaan Kubu Alfred atas alasan bahawa penduduk tempatan menganggap serta menuduh beliau sebagai "Lanun Orang Putih" yang datang ingin menyerang serta merampas hasil kekayaan kawasan persisiran pantai barat Sabah.
Suasana persekitaran yang sungguh bahaya dengan pemusuhan kaum memuncak sehingga boleh menjejas faktor keselamatan.
Dalam keadaan yang sungguh genting itu William Prettyman hampir membuat keputusan untuk lari meninggalkan Tempasuk.
Datu Rambangan dan Pengiran Si Raja Muda yang mendapat sokongan dari Kesultanan Brunei adalah dua orang yg pertama menawarkan diri serta membantu dan menyokong William Prettyman, bukan saja membina Kota Alfred tetapi menghantar beberapa orang pahlawan Iranun dan Bajau Samah berjaga serta melindungi Kota Alfred.
Kota Alfred siap di bina dengan cepat atas bantuan dan kehadiran pahlawan Iranun dan Bajau Samah. Mereka juga berjaya mengawal keselamatan dari sebarang gangguan di sekeliling Kubu Alfred.
Tahap keselamatan dan keyakinan Williams Prettyman berubah apabila Kota Alfred beroperasi sepenuhnya sebagai tempat pelindungan dan menjadi sebuah pusat pentadbiran yang lebih baik.
William Prettyman berjaya mengembalikan sistem mematuhi kepada undang undang, memperkenalkan beberapa jenis cukai serta mengalakkan perniagaan dengan sistem berjual beli di satu tempat khusus dipanggil tempat bertemu atau "Tamu".
Suku Iranun, Bajau Samah dan Dusun boleh hidup tenteram buat pertama kalinya sesudah sekian lama hidup tanpa seberang peraturan serta sentiasa bersengketa antara satu dengan yang lain.
Sebarang aduan kekacauan atau sebarang masalah akan di adukan kepada pihak pentadbiran Kota Alfred dan tindakan susulan akan segera diambil.
Peristiwa yang amat getir adalah apabila Datu Linte seorang pemimpin tempatan Suku Bajau Samah, membuat kekacauan dan mencabar William Prettyman untuk berlawan atau bertinju dengannya.
William Prettyman seorang bekas peninju menyahut cabaran Datu Linte dan semasa bertinju berlaku pergaduhan dan pegelutan antara William Prettyman dengan Datu Linte.
Pergaduhan, cabaran dan gangguan ini dilaporkan kepada Sultan Brunei oleh William Prettyman lalu Datu Linte akhirnya dijatuhkan hukuman mati oleh Sultan Brunei.
William Prettyman meninggalkan Tempasuk pada 24hb Januari 1880, di bawah jagaan dan pentadbiran Kapten Witti yang di dalam bidang kuasa AH Everett Residen baru yang mentadbir Daerah Papar.
Fort Alfred |
Kota Alfred bukan saja berfungsi sebagai Kubu pertahanan
Tempasuk dari serangan pihak musuh malah merupakan tapak penempatan awal pihak
British dan pusat pentadbiran awal yang utama di sebelah pantai barat Sabah
North Borneo.
Melalui Kota Alfred, William Prettyman dapat memperkenalkan sistem pentadbiran baru, corak pengurusan yang membabitkan keamanan dan pusat menyatu padukan semua suku kaum Tempasuk.
Kota Alfred kalau boleh, sepatutnya di bina semula lalu di pelihara sebagai tapak budaya dan warisan, sebuah penempatan awal pegawai British serta pusat pentadbiran Tempasuk yang terawal.
Kotau Alfred juga boleh dijadikan tapak pelancongan yang mempunyai daya tarikan yang tersendiri serta boleh menjadi lokasi muzium maritim tempatan Kota Belud yang boleh mempertabatkan Sejarah Silam Kota Belud.
Sila bantu berkongsi gambar lama, pendapat, pandangan, penambahan isi cerita serta pembetulan sekiranya ada.
Sebarang kesulitan kami terlebih dahulu memohon ampun dan maaf.
Sumber :
1. Prof Ranjit Singh, 2000
2. KG Tregonning, 1965
3. FG Whelan, 1970
4. Owen Rutter, 1922
5. Ian Black, 1983
Ucapan Ribuan Terima Kasih atas segala bantuan serta kerjasama oleh:
1. Tuan Saiffuddin Datuk Zaman, Ketua Kampung, Kota Belud
2. Tuan Muhammad Shuzairie Perli
3. Tuan Sahar Bin Hj Piassin
4. Tuan Roslan Hj Masran
No comments:
Post a Comment