Thursday, March 25, 2021

Sejarah Awal Pentadbiran Overback Dent Association sebelum Syarikat Berpiagam Borneo Utara British di Pandasan dan Tempasuk, Kota Belud di abad ke 19.

Menjejak Sejarah Silam Sabah North Borneo

Sejarah Awal Pentadbiran Overbeck Dent Association sebelum Syarikat Berpiagam Borneo Utara British di Pandasan dan Tempasuk, Kota Belud di abad ke 19.

oleh Kumis Kumis

 

The British North Borneo Herald

Sebelum tahun 1845, Wilayah Jajahan Brunei dari Sungai Ambong sehingga Teluk Marudu termasuk Tempasuk, Pandasan dan Abai adalah sebahagian hak kuasa Wilayah Jajahan "Sungai Kuripan" seorang pembesar Kesultanan Brunei bernama Pengiran Bendahara, Raja Muda Hashim, anak kepada Sultan Muhammad Kanzul Alam (1807-1826).

Raja Muda Hashim mempunyai beberapa Wilayah Jajahan "Sungai Tulin" dan "Sungai Kuripan" di Borneo Utara. (E. Belcher, 1878),(Asbol, 2011),(UMS, 2015)

Semasa beliau menjadi Pengiran Bendahara (Wazir, Perdana Menteri) , Kesultanan Brunei, Raja Muda Hashim cuba mengembalikan kuasa dan sistem pentadbiran Kesultanan Brunei di Sarawak dan Borneo Utara yg agak terabai sejak beberapa tahun sebelum ini.

Ketika itu, pembesar tempatan di Borneo Utara cuba membebaskan diri mereka dari pengaruh Kesultanan Brunei contohnya Sharif Osman, Kota Marudu yg mempunyai kekuatan tentera Laut yg di anggap besar standing dengan kekuatan tentera laut Kesultanan Brunei, begitu juga dengan pemberontakan penduduk tempatan terhadap institusi pentadbiran Kesultanan Brunei di Sarawak.

Raja Muda Hashim akhirnya meminta bantuan James Brooke untuk menangani kedua dua masalah di Sabah dan Sarawak. James Brooke berjaya mengawal suasana di Sarawak di mana beliau di beri kuasa untuk  mentadbir Sarawak pada tahun 1841.

Kemudian pada tahun 1845, atas permintaan Raja Muda  Hashim, James Brooke dengan bantuan Armada tentera British menyerang Kota Marudu yg ketika itu dibawah pentadbiran Sharif Osman atas tujuan yg sama . (E. Belcher, 1848)

Raja Muda Hashim belum sempat menyusun semula sistem pentadbiran Kesultanan Brunei di Pantai Barat Borneo Utara apabila pada bulan Februari 1846, Pengiran Bendahara, Raja Muda Hashim berserta beberapa ahli keluarga beliau dibunuh beramai ramai akibat dari perebutan kuasa politik, permusuhan dengan keluarga Sultan dan disaluti dengan balas dendam yg berlaku sekitar keluarga di Raja pada abad ke 19.(E. Belcher, 1848), (Asbol,2011), (UMS,2015)

Kewujudan Suku Bajau Samah dan Suku Iranun yang menetap di kawasan persisiran pantai barat telah mengubah struktur politik dan pentadbiran wilayah jajahan Brunei di Borneo Utara. Di Wilayah Jajahan Pandasan dan Tempasuk selepas tahun 1845, berlaku anarki, kacau bilau dan huru hara, kegagalan sistem pentadbiran, pemerintahan serta tiada sistem undang undang yg teratur. Sistem pentadbiran sebuah kerajaan telah hilang dan musnah sama sekali.

Berlaku perpecahan dan pergaduhan  diantara suku Bajau Samah dan suku Iranun, bukan itu saja, berlaku juga perpecahan di kalangan suku Bajau Samah dan Suku Iranun itu sendiri. Suku Bajau Samah dan Suku Iranun masing masing tidak mahu bergabung dan tidak mahu ikut arahan sebarang ketua.

Peperangan dan serang balas juga berlaku antara mereka, tanpa ada seorang pun yg menang dan tiada seorang pun di antara mereka dapat menguasai Tempasuk dan Pandasan secara mutlak.

Kesultanan Brunei cuba campur tangan tapi mereka berjaya setakat mengekalkan gencatan senjata di kalangan ketua ketua suku Bajau dan Iranun. (Ian Black, 1978)(Ranjit, 2000)

Raja Muda Hashim dan James Brooke dengan bantuan armada tentera Laut Empayar British yg diketuai oleh Admiral Sir Thomas Cochrane menyerang semua pangkalan Suku lranun di Kota Marudu, Pandasan, Tempasuk dan Tungku dari tahun 1845 sehingga 1848.

Ramai ketua ketua Suku Iranun yang melarikan diri ke Kota Marudu dan Pantai Timur Borneo Utara. Pegawai British yg mengikuti serangan ke atas Kota Marudu, Tempasuk dan Pandasan beranggapan bahawa "jikalau musnah semua pengkalan yg dikatakan "sarang lanun" di kawasan ini maka, bermulalah satu zaman perdagangan dan tamadun yg baru, semestinya perkembangan ini bakal membawa kegembiraan dan pembangunan kepada penduduk tempatan".

Pandangan penduduk tempatan ketika itu pula, " Kemusnahan Kota Marudu dan pentadbiran Sharif Osman sebenarnya telah melenyapkan satu satunya tokoh tempatan yg mempunyai kewibawaan mentadbir mereka dan juga seorang yg memiliki kemampuan serta boleh melindungi pedagang eropah. Sikap benci, dendam dan marah terhadap penjajah British yg menyerang mereka tidak akan hilang begitu saja malah akan berpanjangan buat masa yang lama".

Selepas serangan tersebut, sekitar tahun 1850an Datu Maharaja Dinda dari Suku Iranun dilantik oleh Kesultanan Brunei sebagai Ketua Wilayah Jajahan Pandasan dan Tempasuk.(Ian Black, 1978),(Ranjit, 2000)

Tugas Ketua Wilayah Jajahan adalah bertanggungjawab mengutip cukai kepala dan cukai impot-ekspot selain tugas pentadbiran wilayah. Tugas ini dikatakan penting kerana ianya melibatkan sumber ekonomi dan pendapatan Sultan dan pembesar Brunei di kerajaan pusat.

Cukai cukai yang dikutip kemudian di hantar ke kerajaan pusat di bawah kuasa pentadbiran Pengiran Di Gadong dan di bantu oleh Orang Kaya Di Gadong. Orang Kaya Di Gadong pula mempunyai pegawai pegawai seperti "Jawatan" dan "Jejenang" yg di hantar ke Borneo Utara untuk bertemu Ketua Wilayah Jajahan untuk mengutip cukai. (Asbol,2011)

Datu Maharaja Dinda mendapati agak sukar dan mustahil untuk beliau melaksanakan sistem pentadbiran yang berkesan sebagai Ketua Wilayah Jajahan Brunei di Pandasan dan Tempasuk setelah kawasan tersebut melalui satu tempoh tiadanya sistem pemerintahan dan pentadbiran yg teratur.

Para pembesar sebelum itu cuba mengistiharkan bebas dari pemerintahan Brunei. Selain dari itu ada gangguan daripada beberapa Ketua Suku Bajau Samah yang agak susah di kawal serta langsung tidak mahu mengikut arahannya.

Lebih dari itu mereka  kerap kali mengancam nyawa beliau apabila cuba menjalankan tugas menjatuhkan sebarang hukuman kepada pesalah di kalangan mereka dan ketika mengutip cukai kepala. Akhirnya beliau meninggalkan tugas beliau sebagai Ketua Wilayah Jajahan begitu saja. (Tom Harrison,1956)(Ranjit,2000)

Selepas Datu Maharaja Dinda, Datu Rambangan dilantik sebagai Ketua Wilayah Jajahan dibantu oleh Datu Temmenggung dan Datu Raja Muda Pandarat dari Suku Bajau Samah tetapi mereka juga gagal untuk melaksanakan tugas tersebut. Menurut Pretyman, Datu Rambangan dan Datu Temmenggung juga bergaduh di antara mereka sehingga Datu Temmenggung menyerang dan membunuh 6 orang pengikut Datu Rambangan serta mengambil sapi dan kuda beliau.

Datu Rambangan adalah seorang yg jujur dan amanah serta lantang dan suka berterus terang, beliau cuba menghalang suku Bajau Samah dari menyerang suku Dusun. Suku Dusun pula bukan senang dikalahkan, mereka juga mempunyai kubu pertahanan dan kekuatan mereka sendiri. Datu Rambangan berkata bahawa musuhnya yg sebenarnya adalah orang orang yg beliau pernah jatuhkan hukuman sebelum ini dan ramai antara mereka yg tidak merasa puas hati.

"Musuh" ini sentiasa mengugut dan mengancam keselamatan Datu Rambangan sekeluarga sehinggakan pada suatu masa Datu Rambangan terpaksa berpindah dari Tempasuk ke Pandasan bersama isteri dan anak anak beliau.

Seorang tokoh yg amat terkenal dan berpengaruh dikalangan Suku Iranun di Tempasuk dan Pandasan adalah Sultan Setebuk yg mempunyai ramai pengikut. (Tom Harrison, 1956),(Ian Black, 1978),(Ranjit, 2000).

Datu Rambangan Bin Datu Baskal (Raja Si Raja Mamur) Bin Raja Si Raja Merawi dikatakan berasal dari susur galur pembesar Suku Bajau Samah atau di kenali sebagai "Orang Laut", di zaman pergolakan Kesultanan Johor Riau Lingga yg bermula sekitar tahun 1699 sehingga 1722.  (Hajjah Nursillah Datu Juan, 1986)

Pergolakan besar dalam empayar Kesultanan Johor Riau Lingga itu berlaku apabila Sultan Mahmud II dibunuh oleh Laksamana beliau sendiri dan peristiwa pertabalan Bendahara Abdul Jalil sebagai Sultan. Raja Kecil dari Siak yang mendapat sokongan kuat Suku orang laut (Bajau Samah) yang pernah bernaung di bawah Laksamana Paduka Raja (setia kepada susur galur Sultan Melaka) yang juga  Ketua Armada Tentera Laut telah mengisytiharkan perang terhadap Sultan Abdul Jalil .

Sultan Abdul Jalil melarikan diri ke Pahang di mana beliau terbunuh di Kuala Sungai Pahang pada tahun 1719. Sultan Sulaiman pada tahun 1728 dengan tentera laut Suku Bugis berjaya mengalahkan Raja Kecil. Pergolakan Kesultanan Johor Riau Lingga berterusan sehingga tahun 1780an di zaman Sultan Mahmud III di mana beliau memohon bantuan saudara beliau Raja Ismail dari Tempasuk menyerang penempatan Belanda di Tanjung Pinang. (Trocki, 1979) .

Sekitar tahun 1780an, kekuatan tentera suku Bugis dan suku orang laut adalah masih agak setanding di mana mereka masing masing bernaung dengan dua kumpulan yang berbeza yang ingin menguasai Kesultanan Johor Riau Lingga. Malangnya, perpaduan dan kekuatan tentera suku orang laut (Bajau Samah) yang suatu masa dulu sebuah suku kaum yang pernah tersohor hebat gagah perkasa sebagai Raja Laut di seluruh nusantara tanpa tandingan telah mula retak dan berpecah sedikit demi sedikit sejak seawal tahun 1700an.

Sebenarnya suku Bajau Samah sudah lama bertapak di persisiran pantai Borneo Utara sejak zaman berzaman, tapi adalah lumrah dan resam kehidupan mereka yg suka berpindah randah.

Sebahagian kelompok suku orang laut tersebut telah membawa haluan mereka dan menetap di persisiran Pantai Barat Borneo Utara seperti Kota Marudu, Tempasuk, Abai, Pandasan, Ambong, Mengkabong, Menggatal, Inanam, Darau, Likas, Api Api, Sembulan, Tanjung Aru, Petagas, Putatan, Kinarut, Kawang sehingga Papar bersama ketua mereka masing masing serta bernaung di bawah Kesultanan Brunei.

Sebahagian lagi kelompok orang laut berhijrah ke kepulauan Filipina, Sulawesi, Kalimantan termasuk pulau pulau, persisiran pantai dan muara sungai seluruh nusantara. (Dalrymple,1884) (Hugh Brooke Low, 1896) (Tuhfat Al Nafis, 1965)

Sekitar tahun 1850an, sistem pentadbiran di Tempasuk dan Pandasan agak lemah dan tidak teratur di mana mereka mungkin telah kehilangan seorang pemimpin mutlak atau seorang tokoh yg luar biasa yang mereka boleh anggap sebagai Raja yang mampu menyatukan mereka semua.

Keadaaan ini menyebabkan suasana yang tidak tenteram dan bahaya sehinggakan setiap Kampung mempunyai sistem pertahanan atau perlindungan serta menjadikan bukit bukit di kawasan mereka sebagai kubu atau kota untuk mengelakkan penduduk dan perkampungan dari serangan musuh.

Ada versi mengatakan peristiwa tentang wujudnya banyak "Kota" di atas bukit di zaman inilah bermulanya asal usul nama "Kota Belud" bererti "Kota Bukit" dalam bahasa suku Bajau Samah. Dari sudut yg lebih besar lagi, kita boleh nampak berlaku pertelingkahan dan perpecahan kaum yang agak serius telah berlaku antara Suku Kadazandusun, Suku Iranun dan Suku Bajau Samah di kawasan Tempasuk dan Pandasan.(Ian Black, 1978),(Ranjit, 2000)

Sekitar tahun 1868 sehingga 1878, Suku Iranun diketuai oleh Pengiran Si Raja Muda Indra Jahir ibni Pengiran Muhammad (ibunya Puteri Suku Iranun) yang berpengkalan di Pandasan. Pengiran Sri Raja Muda Indra Jahir cuba menghalang pembesar Suku Bajau Samah dari mengambil hasil sarang burung di Pulau Mantanani dan cuba menghentikan aktiviti mencuri kerbau yang berleluasa ketika itu.

Suku Kadazandusun Tempasuk yang di ketuai oleh Orang Kaya Ungat dari Bongal berpihak kepada Pengiran Si Raja Muda dan membayar cukai kepada beliau di mana mereka juga mempunyai masalah dengan Suku Bajau Samah sehingga bekalan padi sekitar tahun 1878 terjejas. (Ranjit, 2018)

Suku Iranun sudah berada lama di Borneo Utara, tetapi peristiwa tercetusnya Gunung berapi Makaturing di Magindanau sekitar tahun 1760an membawa ribuan penduduknya berhijrah ke persisiran Pantai Barat Borneo Utara termasuk menjadikan Tempasuk, Abai, Pandasan, Kota Marudu dan Tungku sebagai penempatan dan pengkalan utama mereka.

Tahun 1768 bermulalah zaman keagungan maritim Suku Iranun sehingga mereka terkenal mendapat gelaran sebagai "Viking of the Eastern Seas" (Owen Rutter, 1930).

Pada tahun 1776, di Magindanu pula dengan penduduk seramai 61000 orang saja , telah mempunyai 33 buah Kesultanan kecil, di mana 17 orang di antara mereka membawah gelaran Rajah dan 16 orang pula membawa gelaran Sultan. Ada di kalangan Rajah dan Sultan ini berpindah ke Tempasuk , Pandasan dan ada berpindah sejauh Tuaran. (Warren, 1981).

Pada 22.4.1878, Residen kompeni bernama William Pretyman mendarat di Tempasuk bersama dua orang pembantu bernama J. Peltzer dan Hochstadt. Beliau mendapati suasana dan keadaan di waktu itu agak tidak menentu apabila Suku Bajau Samah di Pandasan dan Tempasuk bersikap ingin bebas dari pengaruh mana mana kesultanan dan tidak mahu menerima sebarang bentuk pentadbiran dan sistem pemerintahan baru. Khabar angin mengatakan akan berlaku pemberontakan Suku Bajau Samah untuk mengusir penjajah keluar dari Tempasuk.

William Pretyman terpaksa meminta bantuan dan perlindungan dari Datu Rambangan bekas Ketua Wilayah Jajahan yg di lantik oleh Kesultanan Brunei dan juga memohon bantuan dari Pengiran Si Raja Muda Indra Jahir, Pandasan. Datu Rambangan dan Pengiran Si Raja Muda dengan pengikut masing masing sanggup menggadaikan nyawa mereka dan bersetuju membantu dan melindungi William Pretyman dengan syarat beliau meminta Maharaja Overbeck membawa tentera beliau ke Kota Belud secepat mungkin.

Datu Rambangan dan Pengiran Si Raja Muda juga mengatakan bahawa mereka mengambil risiko keselamatan mereka sekiranya kompeni tiba tiba pergi meninggalkan Tempasuk dan Pandasan. (Tom Harrison,1956)(Ranjit,2000)

Suku Bajau Samah berpendapat bahawa pihak kompeni datang ke Borneo Utara sekadar untuk merampas dan mengeksploitasikan hak penduduk Borneo Utara tanpa sebarang niat untuk menjaga hal ehwal dan kebajikan mereka. Ini terbukti dengan pengenalan sistem cukai yang baru oleh William Pretyman.

Datu Rambangan menasihatkan William Prettyman bahawa pengenalan sistem cukai kepada Suku Bajau Samah adalah sia sia dan beliau yakin Suku Bajau Samah tidak akan mahu bayar cukai. Seorang Ketua Suku Bajau Samah bernama Datu Linte memberitahu William Prettyman bahawa mereka pun pernah mendengar cerita tentang "Lanun Amerika" yg kuat merompak dan membunuh (rujuk masalah Suku Bajau Kimanis dengan American Trading Company pada tahun 1865), lalu beliau mencabar bahawa jika orang putih datang merompak maka akan berlaku perang, jika orang putih datang secara aman maka mereka akan bersikap aman dan jika orang putih bersikap adil maka mereka pun bersikap adil. (Tom Harrison, 1956)(Ranjit,2000)

Datu Rambangan memberi tahu William Prettyman bahawa pengikut beliau agak susah di pujuk untuk membantu membuat rumah pegawai British di Tempasuk, Datu Rambangan juga meminta William Prettyman berjaga jaga dari serangan Suku Bajau Samah. William Prettyman pada mulanya telah berfikir untuk meninggalkan Tempasuk dan Pandasan, tetapi setelah beliau meneliti setiap sudut sistem dan corak pentadbiran Wilayah Jajahan Kesultanan Brunei yang lampau maka beliau mengambil keputusan untuk meminta pertolongan Pengiran Si Raja Muda, Pandasan yg beliau anggap sebagai seorang yg mempunyai cukup pengaruh yg boleh menguasai ketiga tiga suku kaum Bajau, Iranun dan Kadazandusun di Tempasuk selain dari Datu Rambangan.

Pengiran Si Raja Muda membawa semua pengikut dan pembesar beliau bersama senjata mereka membuat kubu di keliling rumah William Prettyman yang beliau namakan "Fort Alfred ". Selepas itu dengan sokongan moral Pengiran Si Raja Muda maka William Pretyman memanggil semua pembesar dan ketua suku Tempasuk dan Pandasan lalu berkata bahawa jika ada sesiapa yg ingin menentang kompeni maka pihak kompeni tidak teragak agak menyerang balas terhadap mereka dengan kekuatan yg mereka nampak bersama beliau serta tidak akan mempelawa ketua ketua suku yg memberontak terhadap kompeni dari berkhidmat di dalam sistem pentadbiran kompeni.

Perjumpaan semua ketua suku ini dengan sokongan kekuatan tentera Suku Iranun dan Bajau Samah maka William Pretyman berjaya menyakin semua ketua suku untuk menyokong sistem pentadbiran yang baru. (Tom Harrison, 1956)(Ranjit,2000)

William Pretyman seterusnya ingin menyelesaikan pertelingkahan dan dendam antara suku kaum dengan pertemuan demi pertemuan serta perundingan dilakukan antara semua pihak yg bertelaga di Tempasuk dan Pandasan yg diadili oleh William Pretyman sendiri. Contohnya, pertelingkahan antara Datu Rambangan dan Sultan Setebuk yang masing masing telah mengorbankan nyawa pengikut mereka adalah salah satu cara beliau mengamankan Tempasuk dan Pandasan, ianya berakhir dengan cara baik melalui perkahwinan antara dua keluarga yang berlainan suku ini. William Prettyman melalui mesyuarat tidak rasmi mingguan pada setiap hari ahad berbincang dan mengawas segala tindak tanduk ketua ketua suku serta jika perlu mengugut akan mengambil tindakan yang berat terhadap Suku Bajau Samah yg selalu mengganggu dan menyerang Suku Kadazandusun. (Tom Harrison,1956)(Ranjit,2000)

William Prettyman menyediakan pusat pentadbiran kecil di Ginambour khusus untuk menangani masalah suku kadazandusun, beliau berpendapat bahawa jika perang dan pergaduhan antara suku kaum Bajau, Iranun dan Kadazandusun dapat diatasi maka beliau boleh memberi tumpuan terhadap pembangunan perniagaan dan ekonomi Tempasuk dan Pandasan. Sistem pasar mingguan "Tamu" diperkenalkan di Ginambour untuk menggalakkan perniagaan suku pedalaman dan suku pantai barat. (Tom Harrison,1956)(Ranjit,2000)

William Pretyman juga memperkenalkan sistem perundangan yang di bantu oleh ketua ketua suku seperti Pengiran Si Raja Muda, Datu Rambangan untuk membicara dan menghukum salah laku penduduk tempatan termasuk mengenakan denda dan ganti rugi. Ketua suku lebih selesa hukuman terhadap persalah dijatuhkan oleh William Pretyman yang mereka anggap sebagai orang tengah yang adil, tidak berat sebelah dan tidak membezakan suku kaum. (Tom Harrison,1956)(Ranjit,2000)

Datu Linte salah seorang ketua Suku Bajau Samah yg dari mula tidak menyokong sistem pentadbiran yang diperkenalkan oleh William Prettyman cuba mengganggu dan cuba mengalakkan pemberontakan terhadap pemerintahan kompeni. Datu Linte terkenal dengan kegagahan beliau dan dikatakan mempunyai amalan ilmu yang tinggi dan kebal, telah bergaduh serta bergelut dengan William Pretyman apabila diarahkan pindah keluar dari Tempasuk.

William Pretyman hampir terkorban dalam pergelutan tersebut tetapi atas daya kesungguhan beliau maka akhirnya berjaya menangkap Datu Linte. Keberanian, kekuatan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh William Pretyman dalam usaha menangkap Datu Linte mendapat pujian dan penghormatan dari penduduk setempat. Namun masih ramai lagi Suku Bajau Samah yang membenci sistem pentadbiran penjajah yang dikatakan menyusahkan rakyat. (Tom Harrison,1956)(Ranjit,2000)

William Pretyman setelah berjaya menstabilkan pentadbiran dan pemerintahan kompeni di Tempasuk dan Pandasan dengan adanya sokongan ketua suku yang setia, maka beliau seterusnya pergi ke Kota Marudu untuk mendapatkan sokongan golongan Sharif di sana seperti Sharif Shih dan Sharif Yasin yang menerima dan menyokong sistem pentadbiran kompeni secara sukarela. William Pretyman juga menubuhkan pasukan polis di bawah tanggung jawab Kapten F.Witti yang berbangsa , Austria. William Pretyman terpaksa mengundurkan diri sebagai Residen pantai barat atas alasan beliau kurang sihat dan membuat pertemuan kali terakhir bersama semua ketua suku.

Beliau menyedari bahawa kesetiaan yang ditunjukkan oleh semua ketua suku adalah sebenarnya terhadap diri beliau dan bukannya kepada kompeni. Beliau terharu terhadap kesetian dan penghormatan yang ditunjukkan kepada beliau oleh semua ketua suku Tempasuk dan Pandasan.

William Pretyman berkata pentingnya hubungan peribadi antara pegawai British dengan ketua ketua suku dan masyarakat untuk memastikan kejayaan sistem pentadbiran kompeni di Borneo Utara, beliau ada menulis : "After court, Datu Rambangan stopped to gossip, he was good enough to pour out his fears and thoughts on my intended departure. I led him to talk of Poll tax, he said he did not think i should have any trouble in imposing his tax. He begged it might not be done by anyone else. I mention these flattering remarks not because they touch me, but i should wish to show what a part personal government has in the east...." . (Tom Harisson,1956)(Ranjit,2000)

William Pretyman meninggalkan Tempasuk pada 24.1.1880. Kapten F.Witti di beri tanggung jawab sebagai pegawai pemerintah kompeni di Tempasuk dan Pandasan, beliau melaporkan diri kepada tuan A.H. Everett, Residen Pantai Barat yang baru dari Papar (Tom Harisson,1956)(Ranjit,2000)

Sumber :

1. E. Belcher - Narrative of the Voyage of HMS Semarang (1848)

2. Spenser St John - Life in the Forests of the Far East (1863)

3. S E Dalrymple - Report on The Putatan Sub District for Eight Months Ended 31.12.1884 (1885)

4. The British North Borneo Herald (1886)

5. Henry Ling Roth, Hugh Brooke Low - The Natives of Sarawak and British North Borneo (1896)

6. Owen Rutter- The Pirate Wind : Tales of Sea Robbers of Malaya (1930)

7. Tom Harrison - The Diary of Mr William Pretyman (1956)

8. KG Tregonning - North Borneo (1960)

9. Raja Ali Al Haji Riau - Thufat Al Nafis (1965)

10. Ian Donald Black - Native Administration by the British North Borneo Charted Company (1978)

11. Carl A Trocki - Prince of Pirates : The Temmengongs and the Development of Johor and Singapore 1784-1885 (1979)

12. James Francis Warren - The Sulu Zone 1768-1898 : The Dynamics of External Trade, Slavery and Ethnicity in the Transformation of a Southeast Asian Maritime State (1981)

13. Temubual dan kaji selidik Roslan Hj Masran : Hajjah Nursillah Datu Juan, 1986

14. DS Ranjit Singh - The Making of Sabah 1865-1941 : The Dynamics of Indigenous Society (2000)

15. James Francis Warren - Iranun and Balangingi : Globalisation, Maritime Raiding and the birth of Ethnicity (2002)

16. Prof Madya Dr Haji Asbol Bin Mail - Kesultanan Melayu Brunei abad ke 19, Politik dan Structur Pentadbiran (2011)

17. Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Haji Awang Mohd Jamil Al Sufri - Sejarah Sultan Sultan Menaiki Takhta (2014)

18. Kimanis : Negeri Tua, Tanah Keramat (2015)


No comments:

Post a Comment

Sabah/North Borneo: Chronological Notes and Important Dates

Edited By Kumis Kumis  1.  INTRODUCTION North Borneo  occupies the northern portion of the Island of Borneo and was a British-Protected stat...