Monday, March 8, 2021

Siapakah Dato Kilan, Petagas dan Tanjung Aru pada tahun 1884?

Oleh: Kumis Kumis

Minggu lalu ada beberapa orang peminat Sejarah Sabah bertanyakan kalau ada rekod tertulis tentang seseorang yang bernama Dato Kilan yang hidup sezaman dengan Datu Menteri Babu yang bernama Si Limpay di kawasan Putatan.

Sebenarnya disebabkan oleh faktor Perintah Kawalam Pergerakan, kumpulan kami belum lagi dapat menjejak dan berjumpa sesiapapun dari susurgalur atau salahsilah Dato Kilan.

Walaubagaimanapun, pihak kami ingin memohon izin dan meminta maaf dari ahli keluarga besar Dato Kilan, Petagas dan Tanjung Aru, kerana menceritakan kembali serba sedikit catatan masa lampau yang mungkin tidak diketahui oleh orang ramai, khususnya peminat Sejarah Sabah.

 

Sembulan, Tanjung Aru dan Petagas

Dato Kilan adalah seorang tokoh atau pemimpin masyarakat dari Suku Bajau Samah di Petagas atau Tanjung Aru di kawasan Persisiran Pantai Barat, Borneo Utara pada sekitar tahun 1884.

Pada 8hb May 1884, Gabenor William Treacher berusaha untuk mendapatkan Wilayah Jajahan Kesultanan Brunei, Putatan yang dimiliki oleh Pangeran Muda Damit anak Raja Muda Hashim Ibni Sultan Kanzul Alam, rakan baik James Brooke yang terbunuh pada tahun 1846.

Setibanya Gabenor di Petagas yang ketika itu mempunyai 24 buah rumah dengan seramai 100 orang penduduk beliau disambut oleh Dato Kilan yang dikatakan tidak berapa menyokong pihak BNBC lalu beliau mengibarkan bendera Pangeran Temmengung Brunei dan bendera Sarawak dirumahnya.

Walaupun Dato Kilan tidak berapa suka terhadap pihak BNBC tetapi beliau menyediakan beberapa ekor kuda dan kerbau kepada Gabenor dan kumpulannya sebagai pengangkutan untuk mereka bergerak serta menjelajah kekawasan pedalaman.

  

The British North Borneo Herald

Pada sekitar tahun 1881, Dato Kilan, pernah membantu Residen BNBC menentang seorang pembesar Papar yang menentang pihak kompeni dan sejak itu telah mengutarakan niat beliau ingin menyertai serta membantu BNBC.

Pihak BNBC berkata bahawa pertolongan Dato Kilan pada tahun 1881, sebenarnya adalah disebabkan bahawa pembesar Papar ketika itu adalah musuh peribadi beliau.

Pihak BNBC tahu bahawa sebelum penyerahan Putatan kepada pihak BNBC. Dato Kilan telah pergi menhadap Sultan Brunei dan cuba menghalang penyerahan kawasan Putatan dari jatuh ketangan pihak BNBC.

 

The British North Borneo Herald

Pada tahun 1885, Dato Kilan, menjadi Orang Tua atau Ketua Kampung Tanjung Aru yang ketika itu mempunyai 6 buah rumah dan 9 orang penduduk yang berusia 20 tahun ke atas.

Dari perkongsian cerita ini kita dapat tahu bahawa tidak semua pembesar tempatan setuju dengan kehadiran pihak BNBC di Borneo Utara dan ada rundingan dan campur tangan dari pihak luar seperti dari keluarga Brooke dalam soal pentadbiran di beberapa wilayah Borneo Utara.

Sila hubungi penulis jika tuan dan puan dari susurgalur atau waris Dato Kilan untuk melestarikan kisah sejarah Sabah North Borneo ini.

Sumber:

1. British North Borneo Herald 1884 dan 1885

2. The British Library


No comments:

Post a Comment

Sabah/North Borneo: Chronological Notes and Important Dates

Edited By Kumis Kumis  1.  INTRODUCTION North Borneo  occupies the northern portion of the Island of Borneo and was a British-Protected stat...