Oleh Kumis Kumis
The British North Borneo Herald
Baru baru ini ada beberapa rakan peminat Sejarah Sabah
menghantar gambar Batu Sumpah di Kiau, Ranau dan bertanyakan apa cerita sebenar
di sebalik Batu Sumpah tersebut.
Maka kami cuba menjejak maklumat berkaitan peristiwa Batu
Sumpah Kiau, Tuaran- Ranau yang berlaku pada 7.3.1887.
The British North Borneo Herald
Di dalam pencarian tersebut kami juga menjumpai satu lagi
kisah yang agak serupa iaitu Perjanjian Damai Penungah, Labuk-Kinabatangan
bertarikh 3.5.1887.
Oleh itu kami akan ceritakan dulu kisah Perjanjian Damai
Penungah, Labuk-Kinabatangan sebelum menceritakan serba ringkas kisah Batu
Sumpah Kiau, Tuaran-Ranau dalam perkongsian kisah sejarah seterusnya.
Pada sekitar tahun 1882, William Hood Treacher membuka
beberapa penempatan bahagian pedalaman yang dinamakan Balmoral (Sungai Labuk),
Port Elphinstone (Omaddal, Darvel Bay) dan Penungah (Kinabatangan) yang beliau
rasa agak strategik di dalam membantu serta melancarkan lagi pentadbiran di
Sandakan (KG Tregonning,1965).
Dari tahun 1882 sehingga tahun 1887, pusat pentadbiran
Sandakan mula berkembang pesat dan kedudukan serta pengaruh kompeni mula
dikenali oleh pelbagai Suku Kaum pedalaman kawasan Labuk dan Kinabatangan.
Pada 19.3.1887 sekitar jam 3 pagi, Kapten R.D. Beeston
(Ketua Pasukan Polis Kompeni), W.Forbes Mosse, Encik Banjer berserta 40 orang
anggota polis diarahkan untuk pergi ke Penungah untuk menyelesaikan masalah
peperangan serta kacau bilau antara beberapa suku di Kawasan Labuk dan
Kinabatangan yang melibatkan amalan dendam darah dan memburu kepala.
Suku yang terlibat dalam peperangan dan kacau bilau tersebut
adalah Suku Sogolitan, Suku Rumanau, Suku Mangkaak, Suku Sinabu, Suku Tombonuo,
Suku Tampulong, Suku Dumpas dan Suku Putih.
Rombongan Kapten Beeston melawat beberapa kawasan di dalam
usaha mengawal serta meredakan suasana sambil berjumpa dengan beberapa orang
pemimpin masyarakat tempatan.
Tarikh dan kawasan yang dikunjungi adalah seperti
berikut :-
19.3.1887 - Malapi
20.3.1887 - Bilit, tidak dapat berjumpa dengan Haji Datu,
Gua Gomantong
21.3.1887 - Sebongan
22.3.1887 - Kuala Lokan
23.3.1887 - Blut
28.3.1887 - Sungai Maluar
30.3.1887 - Kuamut cuba berjumpa Raja Tuah dari Timbang Batu
tapi gagal
4.4.1887 - Keramuak
6.4.1887 - Berjumpa dengan Panglima Dermatuan (Suku
Tombonuo)
8.4.1887 - WF Mosse bergerak ke Penungah
14.4.1887 - WF Mosse menuju ke Keramuak
20.4.1887 - Rombongan Kapten Beeston bergerak ke Labuk
23.4.1887 - Menuju Ulu Keramuak cuba berjumpa Suku Rumanau
dan Mangkaak tetapi gagal
28.4.1887 - Kuala Telupid
Pada 29.4.1887, lebih kurang seramai 300 orang pahlawan Suku
Rumanau, Mangkaak, Suku Sinabu dan beberapa Suku lain Kinabatangan datang dan
berkumpul di kawasan perkemahan Kapten Beeston dengan senjata lengkap termasuk
sumpitan, pedang dan tombak.
Wakil pemimpin setiap Suku ini menjelaskan bahawa mereka
sudah bersedia dan akan patuh dengan sebarang undang undang dan peraturan pihak
kompeni.
Mereka juga menceritakan bahawa masalah dendam darah dan
memburu kepala sebenarnya sudah lama berlaku tetapi sejak lapan bulan
kebelakangan ini mereka semua di serang oleh Suku Sogolitan dari kawasan Labuk
dan merasa tidak puas hati dan ingin menuntut bela.
Sogilitan berasal dari perkataan "Sogilit" bererti
"Selekoh' iaitu sebuah Suku yang mendiami kawasan selekoh Sungai Labuk.
Suku Sogilitan mempercayai legenda bahawa Suku mereka adalah
dari keturunan dan susurgalur Pahlawan Dusun terbilang bernama "Aki
Tinggoron" salah seorang pengasas dan antara 7 pahlawan legenda Nunuk
Ragang yang menemui Batu Papakang di Sungai Liwagu.
Suku Sogilitan dan Suku Tampulong walaupun dari keturunan
dan susurgalur yang sama tetapi mereka selalu bermusuhan dan bersengketa.
Suku Sogilitan mendiami kawasan seperti di Malapi, Kopuron,
Mangkadaik dan Lumou.
Kapten Beeston menulis surat kepada Datu Pangeran Mumunco
Nagara, Pembesar Kuala Labuk meminta beliau datang ke Telupid untuk berbincang
masalah berkaitan Suku Sogolitan.
Pada 3.5.1887, Datu Pangeran Mumunco Nagara tiba ke Telupid
dengan membawa 6 orang Ketua Suku Sogolitan.
The British North Borneo Herald
Kapten Beeston dengan segera mengatur perbicaraan yang di
hadiri beberapa orang Ketua Suku Labuk Kinabatangan seperti Awang Said (Suku
Sogolitan, dari Pau), Panghulu Sumbun (Sogolitan, dari Sogolitan), Bulunggan
(Sogolitan, dari Sanggar), Paduka (Sogolitan, dari Sogolitan), Kambaking
(Sogolitan, dari Sogolitan), Barsa (Sogolitan, dari Sogolitan), Panshin
(Ramanau, dari Panungah), Galookar (Mangkaak), Tongod (Sinabu, dari Tongod),
Panglima Dermatuan (Tombonuo, Keramuak), Kapitan Agip (Tampulong, dari
Tampulong) dan Orang Kaya Satanda (Dumpas, dari Rungas).
Encik Banjer menjadi juru bahasa dalam perbicaraan tersebut
yang berlangsung selama satu jam setengah.
Keputusan perbicaraan tersersebut adalah seperti berikut :-
1. Suku Sogolitan dari Labuk telah didapati bersalah kerana
memburu kepala dan "misangod" "mengayau" sebanyak 22 kepala
dari beberapa Suku di Kinabatangan.
2. Suku Suku dari Kinabatangan pula telah memburu kepala dan
"misangod" "mengayau" sebanyak 4 kepala dari Suku
Sogolitan.
3. Suku Sogolitan mempunyai lebihan 18 kepala yang mereka
"misangod" "mengayau" dari Suku Suku Kinabatangan, maka
hukuman denda adalah wajib membayar 100 jenis barangan menggantikan
"setiap 1 kepala setiap 1 bulan selama 18 bulan" .
4. Kapitan Agib Ketua Suku Tampulong bersetuju menerima
bayaran denda Suku dari Labuk mewakili Panglima Dermatuan.
5. Datu Pangeran Mumunco Nagara berjanji akan membayar denda
kerana memburu kepala sebanyak 5 kepala dari Suku Putih.
Suku Putih adalah sebuah Suku berasal dari kawasan Balisok
Lama berdekatan Sungai Liwagu. Suku Putih mengaku bahawa mereka juga merupakan keturunan
dan susurgalur dari 7 orang pahlawan legenda Nunuk Ragang yang menemui Batu
Papakang. Nama Putih berasal dari sejenis pokok pisang berwarna putih di
sekeliling rumah salah seorang 7 orang pahlawan legenda Nunuk Ragang. Keturunan
beliau menamakan Suku mereka Suku Putih.
Suku Putih, Suku Kitaring, Suku Lobu dan Suku Tompios selalu
bergabung menyerang Suku Sukang di Keramuak. (D Daly, 1886)
Selepas perbicaraan semua Suku bersetuju dengan membuat
tanda di sebatang kayu dan bersumpah menghentikan amalan memburu kepala dan
taat setia kepada pihak kerajaan. Setiap Ketua Suku seterusnya berjabat tangan
dan masing masing menghisap rokok tembakau sebagai tanda selesainya perbicaraan
dan upacara perdamaian.
Kapten Beeston menerangkan kepada semua Ketua Suku bahawa
jika perkara ini berulang lagi, pihak Kerajaan atau kompeni tidak teragak agak
mengambil tindakan tegas terhadap Suku tersebut.
Sebagai penutup kepada upacara Perjanjian Damai Penungah,
Labuk-Kinabatangan, Kapten Beeston mengarahkan anggota beliau mengibarkan bendera kompeni dan meminta
seramai 40 pasukan polis untuk berbaris, berkawad sambil membuat laluan hormat
di hadapan tempat berkumpul semua Ketua Suku serta membuat 3 das tembakan
hormat ke udara.
Selepas itu semua Ketua Suku bersama pahlawan serta pasukan
perang bersurai mengikut laluan masing masing.
Begitulah berakhir peristiwa Perjanjian Damai Penungah,
Labuk Kinabatangan sambil kita mengetahui serba sedikit kisah punca sengketa
serta latar belakang beberapa Suku yang terlibat.
Semoga kita semua mendapat manfaat dari satu lagi kisah
sejarah silam Sabah North Borneo.
Nota : Mohon maaf jika ada ejaan atau maklumat tersalah yg
tidak disengajakan. sila bantu perbetulkan
Sumber :
1. KG Tregonning, A History of Modern Sabah 1881-1963 (1965)
2. The British North Borneo Herald (1.6.1887)
3. RD Beeston, Report on Labuk-Kinabatangan Exhibition
(12.5.1887)
4. W Forbes Mosse, Report on Penungah (14.4.1887)
5. D Daly, Mr D Daly's Trip up the Kinabatangan (1.12.1886)
6. PS Shim, Inland People of Sabah (2007)
No comments:
Post a Comment