Oleh Kumis Kumis
Panglima Orang Tua Gata
Ini adalah Sejarah dari Pantai Timur, Sabah, dan kami ingin
berkongsi serba sedikit kisah perjuangan dan asal-usul Panglima Orang Tua Gata
yang banyak berjasa dan berbakti semasa Perang Dunia Ke-2.
Tulisan ini adalah tambahan maklumat berkaitan Sejarah Perjuangan serta Salasilah sebenar Panglima OT Gata Bin Bunggang yang diceritakan sendiri oleh Cucu Tertua beliau yang masih hidup.
Cerita serta latar balakang mengenai beliau amat kurang
dikongsikan kepada orang ramai di kalangan para peminat Sejarah, Sabah,
terutamanya generasi baru.
Terlebih dahulu kami memohon izin dan meminta maaf dari ahli
keluarga besar Panglima OT Gata, Sarjan Korom Anduat dan DSP Abu Bakar Titingan
Bin Damsani kerana menceritakan kembali serba sedikit kisah masa lampau tentang
jasa, perjuangan dan pengorbanan mereka semasa perang dunia kedua yang mungkin
ada yang tidak diketahui oleh orang ramai.
Sebenarnya usaha menjejak Panglima Orang Tua Gata ini telah
dimulakan oleh Allahyarham Datuk Tawfiq "Abu Bakar" Titingan pada
2.7.2010.
Semoga perkongsian cerita ini boleh di ambil kira sebagai
menunaikan amanat beliau serta membuka lembaran baru dalam menjejak sejarah
silam Tawau. Mari kita sama sama berdoakan agar roh mereka dicucuri rahmat
Allah SWT dan ditempatkan dikalangan orang orang yang soleh serta dikurniakan
husnul khatimah.
Panglima Orang Tua Gata Bin Bunggang sebenarnya adalah
berdarah keturunan Bugis Bone (Sulawesi) yang merantau ke Kampung Sungai Tamang
di Pulau Sebatik dari Sibuku.
Kampung Sungai Tamang di asas oleh Panglima Hj Taib iaitu
Bapa kepada Syarifah Jainab dan Syarifah Bariah, Hj Taib dipercayai seorang
Panglima berdarah Suluk dan menjadi Panglima kepada Sultan Bolongan sebelum
merantau ke Singapura dan membuka perkampungan di Pulau Sebatik iaitu Sungai
Taman.
Kewujudan nama Kampung Sungai Tamang adalah dari bahasa
Murut yang membawa maksud Sungai Rusa/Payau.
Aki Bunggang pula adalah Ayah Tiri kepada Panglima OT Gata
yang berdarah keturunan Kerabat Raja dari suku Murut di Sibuku yang dipercayai
berkahwin dengan beberapa orang wanita antaranya dari Suku Bugis Bone, Suku
Tidung dan Suku Murut.
Antara anak anak Aki Bunggang adalah Pangeran Betompok yang
menetap di Sibuku, Abdullah @ Penguyai di Sembakung dan Panglima Orang Tua Gata
di Pulau Sebatik. (Usaha menjejak silaturahim masih diteruskan).
Panglima Orang Tua Gata Bin Bunggang (mendapat
pengikhtirafan gelaran oleh Kerajaan British) telah berkahwin dengan Puan
Hasiah dan dikurniakan 3 orang anak serta seorang anak angkat.
Nama-nama anak Panglima OT Gata Bin Bunggang iaitu:
1. Panglima Hassan
2.Rasid
3.Tipah
4.Maimunah (Anak
Angkat yang disayang beliau sehinggakan feri penumpang miliknya dinamakan
sebagai MAIMUNAH).
Selepas kematian Puan Hasiah (Disemadikan di tanah
perkuburan Kampung Sungai Imam), beliau telah berkahwin dengan Puan Sabariah @
Nek Aning Binti Haji Pati (Tidak Mempunyai Anak).
Anak-anak Panglima OT Gata hasil perkongsian hidup dengan
Puan Hasiah, iaitu:-
1. Panglima Hassan
Bin Panglima OT Gata berkahwin dengan Puan Mariam (Perkahwinan pertama
mempunyai 1 anak) iaitu Omar dan perkahwinan dengan Puan Syarifah Jainab Binti
Hj Taib dikurniakan 11 orang anak yang bernama Ribut, Japar, Miasin, Mokhsin,
Maidin, Salmah, Majid, Ramlah, Salim, Rusmi dan Asmara.
2.Rasid Bin
Panglima OT Gata, perkahwin pertama dengan Puan Embing (1 orang anak) iaitu Hjh
Mariam dan selepas kematian isteri pertama, beliau berkahwin pula dengan Puan
Syarifah Bariah Binti Hj Taib (Adik kepada Puan Syarifah Jainab isteri kepada
Panglima Hassan) mempunyai 9 orang anak
dan seorang anak angkat, anak-anak bernama Ahmad, Jumaat, Mariamah, Halima,
Ramlee, Kalsum, Salleh, Sarimah, Murni dan Marni (anak angkat).
3.Puan Tipah Binti
Panglima OT Gata berkahwin dengan Sulaiman Hj Andas yang dikurniakan 7 orang anak bernama Yusof, Halimah,
Zakariah, Norsiah, Mansur, Kamar dan Habibah.
4.Anak angkat
beliau Puan Maimunah Binti Panglima OT Gata berkahwin dengan Sjn Hassan yang
dikurniakan 5 anak iaitu Raya, Rohaya, Mansur, Sofian dan Salleh.
Panglima OT Gata, Sarjan Korom Anduat dan DSP Abu Bakar
Titingan Bin Damsani sebenarnya adalah 3
orang anggota pasukan sulit dan khas (Agas IV) atau "pengintip"
tentera bersekutu di bawah pimpinan Major Rex Blow iaitu salah seorang anggota
khas Z atau "Z Special Force" (Lieutenant "2/10th Australian
Field Regiment").
Major Rex Blow adalah bekas tahanan perang di Pulau Berhala,
Sandakan yang berjaya melarikan diri ke Filipina atas bantuan dan pengorbanan
Sarjan Korom Anduat dan rakan-rakan beliau.
Walaupun semasa Perang Dunia Kedua banyak pihak mengaku
memberikan maklumat tentang kedudukan serta latar belakang tentera Jepun di
Tawau tetapi maklumat tersebut akan dirujuk kembali dengan maklumat yang
diperolehi oleh Panglima OT Gata, Sarjan Korom dan DSP Abu Bakar Titingan
Damsani.
Mereka bertiga sebenarnya berkerja keras dan berkorban nyawa
melakukan misi sulit dan khas agar dapat membantu tentera bersekutu menawan
kembali Tawau dari cengkaman tentera Jepun.
Panglima OT Gata dan Titingan diminta oleh Major Rex Blow
untuk melaporkan segala pergerakan dan kegiatan musuh yang berlaku di Sungai
Tawau dan Pulau Sebatik.
Panglima OT Gata termasuk Awang (Ayah YB Hamild DUN Balung)
ditugaskan untuk membentuk pasukan sukarela di Pulau Sebatik di mana mereka
memainkan peranan mengawal tingkah laku dan pergerakan penduduk setempat sambil
menyebarkan propaganda kedatangan kembali tentera bersekutu ke Tawau untuk
mewujudkan suasana kucar-kacir dikalangan para pemimpin tentera Jepun.
Beliau dibantu oleh DSP Abu Bakar Titingan Damsani yang
menyediakan peta yang amat baik mengambarkan kedudukan serta lokasi semua
markas tentera Jepun di Tawau.
Mereka berdua juga bertanggung jawab menahan setiap orang
baru yang masuk ke Tawau untuk di soal siasat dan melakukan pelbagai tugas
mereka dengan cemerlang sehingga tamat Perang Dunia Ke Dua.
Salah satu jasa dan pengorbanan mereka yang tidak dapat
dilupakan adalah peristiwa pertempuran yang berlaku pada 28.7.1945.
Apabila mereka berada di Batu Tinagat dalam salah satu misi
rahsia, mereka dengan tiba-tiba
bertembung dengan sekumpulan tentera Jepun. Berlaku kejadian tembak menembak
yang amat genting dan akhirnya 20 orang tentera Jepun terbunuh dan 16 orang
lagi tercedera.
Tawau jatuh kembali ketangan tentera pihak bersekutu pada
17.10.1945 dan seramai 2,900 orang tahanan tentera Jepun di hantar ke Jesselton.
Sumbangan dan jasa pengorbanan Major Rex Blow, Panglima OT
Gata , Sarjan Korom dan DSP Abu Bakar Titingan Damsani terpahat dalam rekod
tentera Australia dan tentera bersekutu buat selama-lamanya sebagai antara
pejuang tanah air yang terbilang di Tawau.
Selepas Perang Dunia Ke 2, Panglima Orang Tua Gata telah
mewakafkan tanah beliau seluas 5.28 ekar sebagai tanah perkuburan orang-orang
islam Kampung Sungai Tamang, Pulau Sebatik pada 22.2.1955 sebagai salah satu
sumbangan beliau terhadap masyarakat.
Beliau juga telah diamanahkan agar setiap pekerja yang
datang dari negara jiran wajib melalui kelulusan dan kebenaran beliau sebelum
berkerja di Tawau.
Begitulah serba sedikit sebuah kisah Sejarah Tawau semasa
Perang Dunia Kedua yang kurang diceritakan kepada orang ramai. Semoga semua
pihak mendapat manfaat dari perkongsian cerita sejarah ini.
Jika ada sebarang kesalahan atau kesilapan sila berikan
komen agar pihak kami boleh membuat pembetualan dan memperbaiki lagi penulisan
ini.
Sekian.
Sumber dan Gambar:
1. Ken Goodlet - Tawau, The Making of Tropical Community
(2010)
2. Arjuna Mys - Beaufort
3. Australia War Memorial
4. Yakub Uton
Jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Tuan Ahmad Rasid
(Cucu Panglima OT Gata) atas maklumat tambahan dan penyusunan semula salahsilah
yang lebih lengkap.
No comments:
Post a Comment