Monday, March 29, 2021

Sorita Boruruk : Suku Tatana, Kuala Penyu

Oleh : Kumis Kumis

Ilustrasi Suku Tatana

Ilustrasi Gua Bawah Tanah


Dalam mengkaji dan menyelusuri budaya serta sejarah tradisi lisan di kalangan masyarakat tempatan, semestinya kita tidak akan dapat lari dari unsur tokok tambah variasi satu cerita yang sama tetapi ada banyak perbezaan dari segi perincian di dalam sejarah tradisi lisan yang di ceritakan oleh beberapa individu golongan warga emas.

Apa yang amat pasti di pengakhiran cerita tersebut pendengar akan mendapat intipati serta pemahaman yang hampir sama walaupun jalan cerita agak berbeza.

Golongan warga emas agak ramai yang menghafal serta cuba mengingat kembali sesebuah kisah yang pernah dikongsikan kepada mereka dulu kala oleh nenek moyang tanpa menulis tentang kisah legenda asal usul, sejarah dan peristiwa kecuali melalui sejarah tradisi lisan yang dikongsikan dari generasi ke generasi.

Suku Tatana dikatakan kaya dengan sastera tradisi lisan mereka, yang berbentuk cerita rakyat seperti Sorita Tabung Labi, Sorita Boruruk, Sorita Jarambak, Sorita Batu Nousung dan banyak lagi.

Hari ini kita berkongsi satu lagi sastera Suku Tatana kisah dalam  tradisi lisan bertajuk Sorita Boruruk, Kuala Penyu.

Kita perlu berlapang dada dan mengambil kira bahawa semua cerita lama tidak semestinya sama seratus peratus dengan pencerita lain tetapi ada sedikit sebanyak unsur perbezaan yang di harap dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang sudi mendengar atau membaca cerita tersebut.

Sorita Boruruk dimulakan dengan meminta dua orang warga emas Kuala Penyu yang di anggap paling arif soal cerita legenda Sejarah tradisi lisan Sorita Boruruk.

Apabila mereka selesai berkongsi Sejarah tradisi lisan Sorita Boruruk didapati ianya adalah sebuah kisah tradisi lisan yang agak sama tetapi jalan cerita yang berbeza di mana  terdapat intipati cerita yang sealiran. Setelah digabungkan kedua dua cerita dari dua orang warga emas Kuala Penyu itu maka kita mendapat variasi Sorita Boruruk yang dikatakan hampir sempurna.

Sorita Boruruk sebenarnya adalah sebuah kisah tradisi lisan yang menceritakan sebuah cerita legenda asal usul Suku Tatana.

Pada zaman dulu kala ada dua orang adik beradik, seorang lelaki dan seorang perempuan yang hendak mandi di sebuah ke perigi berdekatan.

Setibanya mereka berada di tepi perigi, budak perempuan tersebut ternampak sekuntum Bunga berwarna merah terapung dipermukaan air dan timbul keinginan untuk mendapatkan Bunga tersebut.

Budak perempuan itu berusaha bersungguh sungguh untuk mencapai Bunga dipermukaan air perigi itu, dan dengan tiba tiba budak perempuan tadi seperti di tarik oleh sesuatu benda ghaib yang berada di dalam perigi itu lalu budak perempuan itu terjatuh ke dalam perigi lalu hilang dan dijangkakan mati lemas.

Abang kepada budak perempuan itu merasa amat terkejut dan berlari menuju ke rumah meminta pertolongan dari Ibu bapa serta penduduk Kampung untuk menyelamatkan adik perempuannya.

Apabila ahli keluarga dan penduduk Kampung sampai di tepi perigi mereka mendapati ada sesuatu benda besar bergerak seperti batang pokok kayu di dalam perigi tersebut. Penduduk Kampung membuat keputusan untuk mengosongkan perigi tersebut dengan menimba keluar air perigi sehingga kering.

Penduduk Kampung agak terkejut apabila mereka nampak seekor haiwan mistik luar biasa seperti ular besar yang di panggil "Boruruk" berada di dasar perigi lalu mereka serta merta membunuh haiwan mistik seperti ular itu sambil memotong perut haiwan tersebut dimana mereka menjumpai mayat budak perempuan itu tadi.

Untuk mengangkat ular besar itu keluar dari perigi, penduduk Kampung menggunakan sejenis alat bernama "sugira" yang diperbuat dari kayu "marabau".

Apabila selesai menggunakan alat "Sugira" atau "Monyugira" , ianya dicucuk di tanah dan tempat itu tumbuh  sebatang pokok besar.

Tempat itu hari ini di panggil sebagai Kampung Kosugira. Kampung tempat dimana mereka mendapat kayu marabau untuk alat sogira hari ini dikenali sebagai Kampung Marabau. Ada yang mengatakan bahawa asal usul nama Kampung Menunggang bermula dari cerita kanak Kanak yang Menunggang haiwan mistik seperti ular itu.

Kampung Kampung ini berada di suatu tempat bernama "Kayul" lebih kurang 8 batu dari pekan Kuala Penyu.

Berbalik kepada cerita haiwan besar mistik seperti ular besar tersebut di mana kulit ular itu dikeringkan dan dijadikan gendang.

Gendang di palu buat pertama kalinya untuk menghormati roh budak perempuan itu dan apabila gendang itu di palu buat kali kedua, semacam bunyi pelik dan ganjil terhasil yang di panggil "Miamuk", maka dengan tiba tiba orang Kampung mula mengamuk, bergaduh,  menikam serta berbunuh sesama sendiri kecuali wanita yang sedang mengandung tidak dipengaruhi oleh bunyi gendang tersebut.

Oleh sebab gendang yang menggunakan kulit haiwan mistik seperti ular "Boruruk" itu mendatangkan malapetaka kepada penduduk Kampung maka gendang tersebut di buang di Sungai lalu hanyut ke Kampung lain.

Gendang itu hanyut sehingga sampai ke Kampung Suku Bisaya, di mana mereka merasa gembira kerana mendapat sebuah gendang yang unik dan cantik. Apabila gendang itu di palu kejadian serupa berlaku seperti apa yang dialami oleh Suku Tatana dan pada hari itu ramai penduduk Suku Bisaya terbunuh.

Akhirnya Suku Bisaya mendapat tahu bahawa gendang tersebut di buat oleh Suku Tatana maka Suku Bisaya tersalah faham satu perbuatan khianat maka membuat keputusan menyerang suku Tatana untuk membalas dendam.

Suku Bisaya dapat mengumpul sejumlah angkatan perang yang sungguh besar lalu menyerang perkampungan Suku Tatana.

Disebabkan jumlah angkatan perang Suku Bisaya yang agak ramai daripada angkatan perang Suku Tatana maka Suku Tatana tewas dalam sesuatu peperangan yang hebat dan dahsyat di mana kedua pihak banyak yang terkorban. Suku Tatana terpaksa melarikan diri, ada kumpulan yang lari sehingga Tambunan dan ada yang lari sehingga Sungai Klias.

Ada juga saki baki Suku Tatana yang membuat keputusan untuk bersembunyi di dalam gua bawah tanah. Di dalam gua bawah tanah tersebut Suku Tatana gemar menganyam rotan  dan pada satu ketika batang rotan tersebut ternampak bergoyang goyang dari luar pintu masuk gua bawah tanah.

Suku Bisaya pasti bahawa Suku Tatana bersembunyi di gua bawah tanah lalu menuang minyak panas ke dalam gua bawah tanah dan berganggapan semua orang Suku Tatana yg berada di bawah tanah telah terbunuh lalu Peperangan berakhir dan Suku Bisaya balik ke Kampung halaman mereka masing masing.

Menurut cerita nenek moyang Suku Tatana bahawa minyak panas itu sekadar menyiram sekitar pintu masuk gua bawah tanah saja dan tiada seorang pun Suku Tatana yang terkorban.

Setelah sekian lama perang tamat dan suasana semakin aman dan tenang maka Suku Tatana keluar dari gua bawah tanah dan balik ke Kampung halaman mereka.

Sejak peristiwa itu mereka mengelar suku mereka sebagai Suku Tatana dengan merujuk  kembali kisah mereka pernah tinggal di gua bawah tanah.

Suku Tatana terkenal dengan industri pertanian terutamanya tanaman sayuran dan buah buahan. Semakin hari semakin besar dan banyak hasil pertanian Suku Tatana sehingga suatu hari banyak monyet datang memakan tanaman buah buahan mereka.

Disebabkan banyak hasil buah buahan yang rosak, maka Suku Tatana membuat keputusan untuk menangkap semua monyet tersebut lalu di bunuh dan di masak.

Suku Tatana mengumpul banyak lemak dari daging monyet. Apabila daging dan lemak monyet ini di makan ramai penduduk Kampung pengsan seolah olah mati. Cuma seorang perempuan buta saja yang terselamat kerana beliau tidak memakan daging atau lemak monyet tersebut.

Perempuan buta itu menyangka semua penduduk Kampung telah mati dan apabila beliau tidur di malam hari lalu dia bermimpi berjumpa seorang perempuan tua yang mencadangkan agar beliau merendam tulang monyet itu di air serta meminumkan air tulang monyet itu kepada setiap orang Kampung yang pengsan. Perempuan buta itu bersusah payah melakukan setiap arahan perempuan tua dalam mimpi itu dan dia berjaya menyembuhkan setiap penduduk Kampung.

Suku Tatana membuat keputusan menyimpan minyak lemak dan tulang monyet untuk dijadikan senjata mempertahankan Kampung itu dari serangan musuh di masa akan datang.

Seperti yang mereka jangkakan angkatan perang Suku Bisaya datang lagi untuk menyerang Suku Tatana atas dendam kesumat dari peristiwa "Gendang Boruruk".

Kali ini Suku Tatana sudah bersiap sedia membuat Kota atau Kubu yang mereka saluti dengan senjata rahsia mereka iaitu minyak lemak monyet. Apabila tiba waktu serangan setiap orang pahlawan Suku Bisaya yang terkena minyak lemak monyet akan gugur jatuh pengsan secara tiba tiba dan kejadian ini mengelirukan angkatan perang Suku Bisaya. Ramai pahlawan Suku Bisaya yang pengsan di sangka mati.

Ketua Suku Bisaya merasa takut dan sedih lalu membuat keputusan menghentikan serangan dan berjumpa dengan Ketua Suku Tatana untuk berbincang syarat syarat perdamaian.

Kata sepakat tercapai dan angkatan perang Suku Bisaya membuat keputusan untuk berundur dan mengaku kalah.

Sejak dari peristiwa kejadian itu maka keamanan terjalin di antara Suku Bisaya dan Suku Tatana.

Ramai penduduk Kampung  kedua dua suku berkahwin campur antara mereka dan saling mempelajari bahasa masing masing.

Kisah ini adalah gabungan cerita nenek moyang dari dua orang warga emas Kuala Penyu yang di temu bual ketika itu dan mereka berharap agar cerita ini tidak hilang di telan zaman apabila mereka sudah tidak ada lagi di dunia ini.

Menurut mereka lagi sehingga hari ini masih lagi ada orang tertentu menyimpan minyak lemak monyet di Kuala Penyu.

Gambar : Ilustrasi Kumis Kumis

Sumber :

1. Phyllis A Dunn - Some Aspect of Tatana Oral Literature (1983)

2. Inka Pekkanen (1981)

3. OKK Rashid Din Hatt (1983)

4. Matthew Hunggim (1983)

5. Moto Olong (1983)

6. Niang Ong Kiau (1983)

7. Gregerson Marilyn Bergman (1969)

8. Loewen Jacob (1969)

9. Malinowski, Bronislaw (1948)

10. Kenneth D Smith (1982)

Nota : Temu bual respondant di buat dari tahun 1981 sehingga 1982 dan kompilasi di susun pada tahun 1983. 

No comments:

Post a Comment

Sabah/North Borneo: Chronological Notes and Important Dates

Edited By Kumis Kumis  1.  INTRODUCTION North Borneo  occupies the northern portion of the Island of Borneo and was a British-Protected stat...