Oleh : Kumis Kumis
Ada beberapa rakan dan peminat Sejarah bertanya sekiranya
boleh dikongsikan serba sedikit sejarah Kesultanan Brunei di serang oleh pihak
British dari sudut kajian dan penulisan pihak penjajah barat.
Di sini kami cuba kongsikan secara ringkas peristiwa
serangan pihak British terhadap Brunei pada bulan Julai 1846.
Sir Thomas Cochrane
Setelah mengetahui Raja Muda Hashim dan Pengiran Badaruddin
terbunuh serta adik mereka Pengiran Mohammad cedera parah dalam serangan oleh
pasukan tentera Haji Saman dari Brunei, maka Admiral Sir Thomas Cochrane
berpendapat bahawa harapan untuk mencari suatu keamanan dan perdamaian di
perairan Borneo semangkin rumit.
Pandangan Cochrane ini di sokong oleh khabar bahawa sebaik
saja tersebarnya berita Raja Muda Hashim
terbunuh lalu sekumpulan angkatan perang lanun dari Marudu, Pandasan dan
Tempasuk menyerang pusat pentadbiran dan penempatan di Ambong di mana golongan
pembesar Ambong ketika itu adalah antara pengikut setia Raja Muda Hashim.
Pada 6hb Julai 1846, Cochrane telah sampai ke perairan
Borneo dengan 7 buah Kapal Perang iaitu HMS Agincourt, HMS Iris, HMS Hazard,
HMS Ringdove, HMS Royalist, HMS Spiteful dan HC Phlegeton.
Sultan Borneo ketika itu bernama Sultan Omar Ali telah
menghantar dua orang Pengiran sebagai wakil beliau menyambut kedatangan pihak
British.
Cochrane merasakan ada yang tidak kena dari kata kata wakil
Sultan Brunei tersebut lalu membuat keputusan untuk menyerang Brunei dengan
mengarahkan HMS Spiteful dan HMS Royalist untuk memulakan serangan mereka
terhadap muara Brunei.
Kedua dua kapal perang tersebut gagal melintasi jauh ke
dalam muara sungai Brunei disebabkan faktor kedalaman dasar sungai yang
menghadkan kapal besar untuk berlayar masuk dan cuma sampai berdekatan dengan
kedudukan Pulau Cermin.
HMS IRIS
Cochrane seterusnya mengarahkan Kapten Rodney Mundy dari
Kapal Perang HMS Iris untuk menyerang muara Brunei dengan mengunakan kapal
perang HC Phlegeton serta menunda beberapa buah perahu kecil.
Setibanya HC Phlegeton di muara sungai, kapal tersebut
terkena bedilan dan tembakan dari arah tepi sungai di mana kapal tersebut
mengalami kerosakan dan dua orang anggota tentera Laut British terbunuh serta
merta.
Kapten Mundy dan pasukan beliau berjaya dan selamat mendarat
di tepi sungai dengan menggunakan beberapa perahu kecil walaupun di serang
hebat oleh penduduk tempatan.
Sultan Brunei ketika itu membuat keputusan untuk
mengundurkan diri dan menyerahkan pertahanan Brunei dibawah tanggung jawab Haji
Saman.
Kapten Mundy berjaya menguasai beberapa tempat di sekeliling
tepi sungai dan kawasan istana.
Mundy seterusnya berusaha dan cuba mencari Sultan Brunei
dengan pengikut pengikutnya tapi mereka semua gagal di kesan.
Haji Saman pula dikatakan melarikan diri dan berkubu di
Membakut.
Cochrane akhirnya membuat keputusan untuk menulis surat
kepada Sultan Brunei dan menyerahkan surat tersebut kepada Pengiran Mumin dan
Pengiran Muhammad.
Antara isi kandungan surat Cochrane itu mengatakan bahawa
beliau meminta Sultan Brunei balik ke Istana dan mentadbir Brunei dengan sebaik
yang mungkin tanpa sebarang gangguan dari pihak tentera British dan kalau boleh
beliau mencadangkan agar jangan ikut serta dalam sebarang aktiviti pelanunan.
Jika baginda Sultan setuju dengan cadangan tersebut maka
semua akan kembali seperti sedia kala, tetapi jika Sultan Brunei ingkar dengan
cadang itu maka Cochrane akan datang kembali dan memusnah seluruh penempatan
Brunei di muara.
Cochrane dan angkatan perang tentera Laut British yang
bersama beliau seterusnya menyerang Tempasuk dan Pandasan di samping melawat
Marudu mencari serta bertempur dengan saki baki lanun.
Kapten Mundy mendapat maklumat bahawa Hj Saman berkubu di
Membakut dan masih bertegas untuk melawan pihak British.
Pada 16hb Ogos 1846, Kapten Mundy menghantar beberapa buah
perahu diketuai oleh Leftenan Little untuk menyerang Kubu Haji Saman di
Membakut. Dua buah kubu kuat Haji Saman di Membakut musnah dan beliau melarikan
diri ke hutan.
Haji Saman akhirnya di tangkap oleh pahlawan suku Dusun yang
selama ini merasa tidak puas hati dengan sistem pentadbiran dan layanan buruk
golongan Pengiran terhadap masyarakat tempatan.
Kapten Mundy dan James Brooke pula bersiap bersedia di dalam
kapal perang HMS Iris berdekatan Membakut semasa serangan terhadap kubu kuat
Haji Saman.
Kapten Mundy mengarahkan agar Haji Saman dijatuhkan hukuman
bunuh tetapi James Brooke meminta Mundy agar Haji Saman dibebaskan.
Kisah serangan terhadap Brunei oleh angkatan tentera Laut
British ini mengambarkan suasana dan peristiwa pada zaman itu di mana beberapa kawasan dan penempatan di Borneo
seperti Marudu, Tempasuk, Pendasan, Membakut dan Brunei dikatakan sebagai pusat
penempatan atau menyokong aktivi Lanun.
Gambar : HC Phlegeton menyerang Brunei, Perahu dari HMS Iris
dan HC Phlegeton menyerang Kubu Hj Saman di Membakut dan Admiral Sir Thomas
Cochrane
Sumber : FG Whelan, A History of Sabah
No comments:
Post a Comment