Monday, March 29, 2021

Sorita Kikuta/Perang Kikuta: Suku Tatana, Kuala Penyu

Oleh : Kumis Kumis

Ilustrasi Suku Tatana


Antara perkara yang amat penting dalam mengkaji sesuatu sejarah serta budaya kesukuan, adalah dengan cara mempelajari, mengetahui dan menghayati kisah legenda dan tradisi lisan suku tersebut.

Ramai antara golongan warga emas kita, tidak mengamalkan sistem merekod atau menulis tentang kisah asal usul, sejarah dan peristiwa zaman nenek moyang mereka kecuali melalui tradisi lisan yang dikongsikan turun temurun dari bapa ke anak cucu, generasi ke generasi.

Suku Tatana sungguh terkenal dan kaya dengan sastera tradisi lisan mereka, yang berbentuk cerita rakyat seperti Sorita Tabung Labi, Sorita Boruruk, Sorita Jarambak, Sorita Batu Nousung dan banyak lagi.

Hari ini kita berkongsi sebuah kisah bertajuk Sorita Kikuta atau Perang Kikuta di suatu tempat bernama Kikuta, Kuala Penyu.

Kita perlu berlapang dada dan menerima bahawa semua cerita lama tidak semestinya manis dan indah tetapi ada juga yg berbentuk pengajaran serta pesanan agar kita mendapat manfaat dari cerita itu.

Peristiwa perang Kikuta berlaku lebih kurang 140 tahun yang lalu di mana suku Tatana di serang oleh angkatan perang lanun kejam dan ganas yang datang dari arah Brunei.

Tapak peperangan itu dikenali sebagai Kikuta, sebuah lokasi atau tempat yang diberikan nama Kikuta oleh nenek moyang Suku Tatana demi mengingati  kisah perjuangan dan peperangan hebat nenek moyang Suku Tatana menentang lanun yang bermaharaja lela dari Brunei di zaman silam.

Para pahlawan Suku Tatana bergotong royong menebang kayu yang agak besar untuk membina sebuah Kubu yang teguh di puncak bukit sebagai tempat yg boleh menangkis serangan musuh.

Para pahlawan Suku Tatana telah lama bersedia dan berkubu di puncak bukit Kikuta menanti serangan pihak musuh dan bila ada masa terluang mereka akan meminum arak beramai ramai sehingga ada yang mabuk.

Antara langkah untuk mengukuhkan lagi sistem pertahanan mereka adalah dengan membuat pagar di keliling Kubu Kikuta, di mana mereka menyusun ratusan batang pokok kelapa di belakang pagar tersebut yang oleh dilepaskan lalu bergolek ke bawah bukit bagi melumpuhkan serangan musuh.

Satu lagi kumpulan elit pahlawan Suku Tatana yang gagah berani bersiap sedia di bawah bukit di tepi Sungai Kinantungan bersama senjata serta meriam mereka.

Apabila peperangan dibawah bukit bermula serta terdengar bunyi tembakan senjata dan meriam maka ianya secara tidak langsung menjadi isyarat atau tanda bahawa pahlawan Suku Tatana yg berada di puncak bukit perlu bersiap sedia menyambung perjuangan para pahlawan yg berkorban berjuang berhabis habisan di kaki bukit itu tadi.

Ada di antara pahlawan Suku Tatana yang mengamalkan ilmu mistik serta kebal sehingga agak sukar ditumpaskan. Ketua kepada pahlawan Suku Tatana yg berperang di bawah kaki bukit Kikuta adalah atuk arwah Sagulim dan beliau terkenal menggunakan sebuah meriam luar biasa bernama Barakat setiap kali apabila beliau pergi berperang.

Semasa peperangan yang dahsyat berlaku dibawah bukit kikuta, ada kumpulan lain pihak lanun berjaya mendaki bukit untuk menyerang Kubu Kikuta. Ramai angkatan perang lanun tercedera dan terkorban apabila jerat batang batang kelapa yang dilepaskan lalu bergolek menghempap para lanun.

Disebabkan jumlah angkatan perang lanun yang agak banyak dan menyerang dari pelbagai penjuru maka ramai pahlawan hebat gagah berani suku Tatana tewas, terbunuh dan ada yg melarikan diri dari peperangan.

Antara yang gugur dan terbunuh adalah atuk kepada arwah Sagulim dan beliau dikebumikan di puncak bukit Kikuta.

Selepas tamatnya peperangan, pihak lanun banyak mengambil barang barang kepunyaan Suku Tatana dan ada dikalangan mereka cuba mengangkat meriam Barakat tetapi gagal kerana terlalu berat.

Sorita Kikuta juga dikenali dengan nama Sorita Purak Agis atau Pasir Putih kerana kawasan peperangan tersebut terdapat banyak pasir putih.

Pesanan nenek moyang Suku Tatana melalui peristiwa Sorita Kikuta adalah jangan terlalu minum arak sehingga mabuk kerana ianya akan membawa keburukan kepada diri dan masyarakat Suku Tatana sendiri.

Nenek moyang Suku Tatana merumuskan bahawa mereka tewas dalam Peperangan tersebut disebabkan ada dikalangan pahlawan yang terlalu degil dan lalai minum arak sehingga mabuk disaat mereka bersiap sedia untuk berperang.

Suku Tatana perlu meninggalkan sifat meminum arak secara berlebihan sehingga mabuk dan tidak sedar diri agar berubah menjadi seorang yg lebih bertanggung jawab pada diri dan masyarakat seperti apa yg mereka pelajari dari peristiwa Perang Kikuta.

Perang Kikuta juga menjelaskan bahawa  Kikuta sebenarnya bererti Kubu atau Kota yang terletak di puncak bukit di Kuala Penyu.

Kuburan atuk arwah Sagulim masih ada di puncak bukit tersebut dan telah disahkan oleh anak cucu cicit beliau.

Gambar : Ilustrasi Kumis Kumis

Sumber :

1. Phyllis A Dunn - Some Aspect of Tatana Oral Literature (1983)

2. Inka Pekkanen (1981)

3. OKK Rashid Din Hatt (1983)

4. Matthew Hunggim (1983)

5. Moto Olong (1983)

6. Niang Ong Kiau (1983)

7. Gregerson Marilyn Bergman (1969)

8. Loewen Jacob (1969)

9. Malinowski, Bronislaw (1948)

10. Kenneth D Smith (1982)

Nota : Temu bual respondant di buat dari tahun 1981 sehingga 1982 dan kompilasi di susun pada tahun 1983.

No comments:

Post a Comment

Sabah/North Borneo: Chronological Notes and Important Dates

Edited By Kumis Kumis  1.  INTRODUCTION North Borneo  occupies the northern portion of the Island of Borneo and was a British-Protected stat...